Tuesday, December 22, 2015

Blind Date 5: Kenapa Perlu Menipu?

BLIND DATE 5 : KENAPA PERLU MENIPU?

            Seminggu selepas pulang dari Langkawi. Sarah datang mengadap. Nur Dhia bermasam muka tetapi Nour Zaed hanya ketawa. Tahu benar isterinya itu masih marah akan teman serumahnya.

            “Kenapa tak datang tahun depan aje?” Soal Nur Dhia sinis. Sarah ketawa.

            “Aku buat dapat upah okey. Kau pulak dapat Encik Nour Zaed yang sangat digilai wanita.” Sarah bergurau.

            “Oh! Pasal dia bagi kau duit kau pekena aku eh? Berapa dia bayar kau? Meh aku bayar balik.” Marah betul Nur Dhia.

            “Tak banyak pun 2k aje.” Sarah tersengih dengan muka tak bersalah. Nur Dhia terdiam. Banyak tu!

            “Haaa, cepatlah bayar balik.” Nour Zaed masuk campur. Nur Dhia berdecit.

            “Bayar buat apa, bukan boleh patah balik. Dah kahwin.” Nur Dhia menjawab perlahan. Dilabuhkan duduk disebelah Nour Zaed. Nour Zaed laju sahaja memeluk bahu isterinya.

            “Alololo sayang ni, sekarang kuat merajuk.” Hidung Nur Dhia dipicitnya. Nur Dhia cepat sahaja menepis.

            “Weh! Please, korang ada tetamu. Aku geli kut tengok adegan cinta selepas kahwin ni. Euwww!” Sarah menutup mata dengan tangan. Nour Zaed ketawa.

            “Thank you Sarah. Akhirnya aku dapat juga lepas dari Nina Si Neraka.” Dalam ketawa Nour Zaed menutur kata. Sarah sudah telan air liur. Kata hal itu rahsia, takkan Dhia dah tahu?

            “Dhia dah tahu ke?” Sarah berhenti menyuap kuih ke dalam mulut. Nour Zaed berhenti ketawa. Nur Dhia kebingungan.

            “Siapa Nina? Neraka?” Soal Nur Dhia. Rahsia apa antara mereka yang masih belum diketahuinya.

            “Nina my ex girlfriend. Lama dulu. Before kita kahwin haritu, dia kembali kacau abang. Sebab tu abang suruh Sarah cepat-cepat jalankan plan untuk blind date kita tu.” Nour Zaed laju sahaja menjelaskan. Sarah urut dada. Nur Dhia Adzara boleh tahan gunung berapi dia. Kalau hal itu terbongkar, naya!

            “Betul ni… tak tipu?” Soal Nur Dhia, mata sengaja dikecilkan melihat suaminya. Nour Zaed mengangguk dan hanya tersenyum.

            “Betul sayang, takkan abang nak tipu.” Nour Zaed menyisip air sedikit, senyuman maish terukir di bibirnya. Namun resah dalam hati berombak jua. Kenapa boleh terlepas kata?

            “Okaylah korang, aku balik dulu. Dhia bila kau nak ambil barang-barang dekat rumah sewa tu?” Ujar Sarah ketika sudah siap menggalas beg tangannya.

            “Laju nak halau?” Nur Dhia menjelir lidah. Sarah membalas.

            “Esok lusa kami pergi ambil boleh terus masuk rumah abang kan sayang?” Suara Nour Zaed. Nur Dhia hanya mengikut. Lagi pula ke mana arah dia selepas ini hanyalah mengikut suaminya. Kerja? Sudah berhenti sebelum bernikah lagi. Kerja kerani biasa di sebuah kedai insurans sahaja. Ijazahnya belum lagi dapat digunakan sepenuhnya.

            “Untung kau Dhia, dapat suami hensem, kerja hebat lepas tu ada kondo. Wow sangat!” Sarah sengaja, dengarnya seperti mengejek sangat!

            “Kenapa eh kau tak kahwin aje dengan Nour Zaed?” Entah kenapa soalan itu yang keluar dari bibir Nur Dhia.

            “Kalau dia suka aku, dah lama kut kitorang kahwin. Masalahnya Nour Zaed ni suka engkau. Ada faham? Dah la aku balik dulu.” Sarah terus sahaja memecut keretanya. Nur Dhia melambai perlahan.

            “Kenapa tanya macam tu?” Nour Zaed menyoal nadanya tegas. Nur Dhia menjungkit bahunya.

            “Saya tak nak dengar soalan macam tu, tak redha namanya.”Nour Zaed bersuara tegas. Nur Dhia yang sedang mengemas meja menghentikan perbuatannya.

            “Dhia minta maaf. Dhia pun tak sangka akan tanya macam tu. Dhia minta maaf eh.” Nour Zaed merengus perlahan.

            “Dhia masih tak dapat terima abang?” Soalnya.

            “Dhia dah terima. Dah seminggu lebih kita jadi suami isteri, Dhia cuba nak sesuaikan diri. Tapi entahlah, hati dhia macam ada rasa sesuatu. Rasa macam awak sembunyi sesuatu.”

            “Awak…awak… abang.”

            “Bagi la masa, Dhia tengah cuba la ni abang oi… Dhia masuk dulu, nak cuci ni semua.” Nur Dhia membentak manja. Nour Zaed akur dan turut membantu membawa pinggan mangkuk ke dalam rumah. Banyak, terlalu banyak yang perlu diceritakan. Tapi mampukah Nur Dhia menerima satu persatu cerita itu dengan baik? Nour Zaed menunggu saat Nur Dhia menerima dia sepenuh hati sebagai suami barulah dia akan ceritakan segala-galanya tanpa ada satu pun yang tertinggal.
           
            Selesai mengangkut barang-barang di rumah sewanya. Tidak banyak mana, hanya baju dan buku sahaja. Bilik itu sudah siap berperabot jadi dia hanya cuci kaki semasa masuk menyewa.

            “Buku-buku boleh letak dalam bilik hujung sana, pejabat abang dan juga our mini library. Baju masuk bilik tengah, bilik kita.” Nour Zaed tersenyum meleret apabila menyebut bilik kita. Nur Dhia berdecit manja, suaminya itu suka sangat menggatal!

            “Abang kerja pukul berapa, balik pukul berapa?”

            “Aduhhh sejuk hati ni dengar sayang panggil abang, abang.” Nour Zaed main-main. Nur Dhia cepat sahaja mengetam lengan sasa suaminya.

            “Ish… tak panggil bising, dah panggil buat Dhia malu je.” Nour Zaed ketawa.

            “Abang nak pergi dah ni, abang balik dalam pukul 5 macam tu. Kenapa?”

            “Nak makan apa petang ni?”

            “Kalau abang kata nak makan apa-apa pun, sayang tak boleh tunaikan.”

            “Ingat Dhia tak pandai masak ke?” Nur Dhia buat-buat merajuk. Nour Zaed mencuit manja hidung isterinya.

            “Bukan. Abang tahu sayang pandai masak, tapi… kat rumah ni tak ada apa-apa nak di masak. Dah dekat 3 minggu abang tak balik, jadi peti sejuk kosong. Nothing.” Ujar Nour Zaed.

            “Alaaa…. Dah tu tengah hari ni Dhia nak makan apa?” Jam telah menunjukkan hampir pukul 12 tengah hari.

            “Takkanlah abang nak biar sayang berlapar. Abang beli kejap lagi, lepas tu terus pergi kerja. Boleh?” Nur Dhia sekadar mengangguk.

            “Kalau sayang rajin, kemas rumah eh, berhabuk la…” pinta Nour Zaed.

            “Upah?”

            “Malam ni abang bagi upah eh.” Muka gatal Nour Zaed kembali. Nur Dhia mencebik. Meremang bulu roma!

            “Tak jadi minta upah. Pergi kerja cepat.” Halau Nur Dhia, malas melayan bila Nour Zaed sudah masuk jiwa jiwang menggatal dia.

            “Otak biru sangat. Upah makan dekat luar la sayang. Okey abang pergi dulu.” Nur Dhia tersengih meleret. Malu sendiri!

            Usai solat zohor, Nur Dhia tercari-cari kerja apa yang patut dilakukan dahulu. Dari mana dan habis di mana. Kondominium suaminya ini boleh tahan besar. Teringat akan buku-buku yang belum dikemaskan, Nur Dhia membuat keputusan untuk membersihkan bilik itu dahulu.

            Dalam sibuk mengemas buku-bukunya ke rak yang sedia ada. Nur Dhia terlihat satu kotak cantik di atas meja kerja Nour Zaed. Jiwa hendak tahunya membuak-buak. Tak salah kalau nak tengok saja kan? Hati Nur Dhia membuat jawapan sendiri. Nur Dhia bangun dari duduk dan terus menghampiri meja kerja Nour Zaed. Kotak itu amat menarik hatinya untuk membuka, lantas terus sahaja dibuka. Gambar? Bukan majlis tunangnya atau perkahwinan mereka berdua tempoh hari. Nour Zaed ada di dalam gambar dan bukan Nur Dhia di sebelahnya. Hati Nur Dhia berdetak laju. Mukanya terasa panas sehingga matanya mula menakung air. Gambar-gambar itu dibelek satu persatu. Hainina Zakaria? Inikah Nina Neraka? Tak habis di situ. Nur Dhia terus mencari-cari apa lagi yang disembunyinya oleh suaminya dan Sarah. Habis semua laci dan rak di selongkar. Komputer pula menjadi sasaran setelah apa yang dicarinya tidak ditemui. Mujur sahaja tiada kata laluan yang ditetapkan memudahkan pencarian Nur Dhia. Semua fail dibuka disemak namun tiada satu pun yang memenuhi pencariannya. Hati Nur Dhia membuak rasa marah dan kecewa. Kenapa Nour Zaed menyembunyikan hal ini? Adakah Nur Dhia isteri kedua? Nur Dhia menangis lagi dan lagi. Apa yang berlaku dalam keluarganya membuatkan dia menjadi takut, takut andai itu yang terjadi kepada dirinya kini. Tak kali kedua dia akan dihina?

            “Kenapa tipu Dhia?” Soalnya sebaik sahaja Nour Zaed melabuh duduk di sofa. Kotak itu diberikan kepada Nour Zaed. Nour Zaed menghela nafas kasar.

            “Kenapa buka barang abang?”

            “Kenapa tak boleh? Just explain to me, apa semua ni? Siapa Hainina? Mana dia?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Nur dhia.

            “Bekas tunang. Jadi, tak perlu lagi nak bincangkan.” Senang sahaja Nour Zaed menjawab, membuatkan Nur Dhia panas hati.

            “Mudahnya Nour Zaed? Semudah awak paksa saya jadi isteri awak?” Nour Zaed meraup wajahnya.

            “Sayang, Nina kisah lama. Abang rasa tak perlu nak besarkan lagi.”

            “Lama? Awal tahun ni awak kata lama? Beberapa bulan sebelum kita bertunang dan berkahwin awak kata lama?” Nur Dhia mula naik suara. Sakit hati dengan sambil lewa Nour Zaed.

            “Yes. Lama, saya tak nak bincang hal ni sekarang. Saya baru balik kerja, saya nak mandi solat dan makan.” Nour Zaed bangkit mencapai beg bimbit dan telefonnya.

            “Kiranya kisah yang awak cerita dekat saya tempoh hari tentang saya yang kononnya awak jatuh cinta, awak cari semua tu tipu la kan? Kalau betul takkanlah awak bertunang dengan orang lain dan mencari orang lain?” Ujar Nur Dhia. Nour Zaed memberhentikan langkah.

            “Boleh kita bincang nanti?” Soal Nour Zaed.

            “Tak, jawab sekarang atau saya keluar dari sini.” Nur Dhia mengugut. Nour Zaed ketawa sinis.
            “Nak pergi mana? Merempat tepi jalan? Awak jangan lupa Nur Dhia, awak hanya ada saya sekarang, family awak pun buang awak. Sarah? Dia di Johor. You have no one and no where to go.” Nur Dhia terkedu. Sampai hati Nour Zaed menutur begitu.

            “Terima kasih. Awak sedarkan saya yang lupa asal usul saya. Sebab inilah saya tak pernah mahu berkongsi hidup saya dengan sesiapa. Terima kasih.” Nur Dhia berlari terus ke bilik, air mata menjadi penemannya kala ini. Nour Zaed merengus kasar, terlepas kata-kata yang membuatkan Nur Dhia tidak akan lagi mempercayainya. Kenapalah dia boleh membiarkan kotak itu terdedah begitu? Tak jangka hal ini berlaku sepantas ini. Apa lagi selepas ini?


            Selepas maghrib, Nour Zaed yang diselubungi rasa bersalah mula mencari isterinya. Pintu bilik tamu diketuknya. Namun tiada balasan. Pintu tidak berkunci itu dibuka, namun kosong tiada sesiapa. Nour Zaed cuak, mana Nur Dhia!

Blind Date 3 : Siapa Nur Dhia?

BLIND DATE 3 (SIAPA NUR DHIA?)

            Hari yang dinanti dalam kegusaran telah tiba. Beberapa minit sahaja lagi rombongan Nour Zaed akan tiba, tetapi Mak Cik Soraya masih belum diberitahu akan hal itu. Sudah difikirkan pelbagai cara dan kaedah untuk memberitahu akan hal ini namun Nur Dhia masih teragak-agak. Masih kekal dalam ingatan, masih terasa sakit sengatan yang hinggap ke tubuhnya saat Hafiz rakan sekelasnya datang menghantar buku latihan yang tertinggal di sekolah. Mak Cik Soraya memukulnya tanpa belas. Mak Cik Soraya menuduh Nur Dhia sudah pandai menganyam cinta ketika di bangku sekolah, tidak menjaga maruah. Mulalah asal usulnya diungkit. Kadang kala Nur Dhia terfikir, apakah benar dia bukan anak ayahnya? Ayah, disaat habis hayatnya masih bertegas dia adalah anaknya. Kenapa Mak Cik Soraya sebaliknya?

            “Kak Dhia, Mak Cik Soraya tengah mengamuk!” Kelam kabut Johan memanggilnya di buaian yang berada di dapur. Nur Dhia sudah resah. Mampus! Segera seliparnya disarung ke kaki. Langkah diatur laju di belakang Johan.

            “Kahwin? Apa betina tu buat dekat KL nu? Tak guna punya budak! Dari kecik dok malukan aku! Johan! Mana Dhia? Hang panggil betina tu cepat!” Jelas dan nyaring suara Mak Cik Soraya kedengaran. Nur Dhia tergamam. Semua hantaran sudah bertaburan di tanah. Kelihatan Tok Mak dan Mummy beriak terkejut dengan kerutan di dahi. Mungkin tidak menyangka hajat yang baik dibalas sebegitu rupa. Nour Zaed sudah berketap gigi. Jelas rahangnya bergerak-gerak. Nur Dhia mengucap dalam hati dan bertawakal.

            “Mak cik, saya tak buat apa-apa. Saya sepatutnya bagitau dekat mak cik tentang rombongan ni tapi saya lupa.” Nur Dhia tak berani menyatakan ketakutannya. Lupa? Mana mungkin lupa. Sudah seminggu dia sukar untuk melelap mata kerana hal ini. Apa yang ditakutkan telah terjadi, apa yang harus dia lakukan sekarang? Mata Mak Cik Soraya menyala-nyala. Seram!

            “Hang memang sengaja nak malukan akukan? Hang nak kahwin? Siapa nak hang? Hang tu anak tak sah taraf, anak haram! Sapa yang nak ambik hang jadi bini? Ni aku tau, hang mengandungkan? Dasar anak haram, perangai macam haram!” jerkah Mak Cik Soraya, laju sahaja tangannya menampar kuat pipi Nur Dhia sehingga gadis itu terjelepok jatuh ke tanah. Kaki mak cik Soraya terus sahaja memijak dan menendang perut Nur Dhia.

            “Biaq aku pijak hang bagi hang dengan anak hang mampus!” Mak Cik Soraya bagaikan orang gila yang sudah hilang warasnya. Nour Zaed yang mulanya hanya berdiri dan memerhati, tidak betah lagi. Ditolaknya Mak Cik Soraya sehingga terdorong ke belakang orang tua itu. Nur Dhia dilindunginya.

            “Aku hormat kau sebagai orang tua, orang perempuan tua. Kalau kau lelaki, dah lama aku kerjakan. Kau tak ada langsung belas kasihan? Kalau pun betul Nur Dhia ini bukan anak kau, siapa kau nak menghina dia? Di sisi Tuhan Nur Dhia ini lebih mulia dari kau!” bagai halilintar suara Nour Zaed bergema di situ. Tok Mak dan Mummy menghampiri Nur Dhia dan membantu Nur Dhia untuk bangun. Kaki Nur Dhia seakan lembik akibat kesakitan yang ditanggungnya.

            “Hoi! Hang datang rumah aku tak berjemput hang nak maki aku? Kalau hang rasa Nur Dhia ni mulia, hang ambik la dia. Aku dah lama nak buang dia dari hidup aku. Dari kecik sampai sekarang bawak malang dekat aku!” Mak Cik Soraya mula melangkah menaiki tangga mahu masuk ke rumah. Nur Dhia mula bersuara, merintih sedikit kasih dari Mak Cik Soraya.

            “Mak cik, Dhia minta maaf. Dhia tak malukan mak cik, Dhia tak buat apa-apa. Dhia nak kahwin elok-elok. Mak cik jangan buang Dhia. Dhia nak pergi mana kalau mak cik buang Dhia?” Nur Dhia masih bertutur dengan baik walaupun mak cik Soraya sedari tadi memakinya.

            “Aku kisah apa hang nak dok kat mana. Selama ni aku memang harap hang takdak dalam hidup aku. Aku benci hang sampai mati!” Terus sahaja pintu rumah di tutup rapat. Nur Dhia merintih, menangis.

            “Kau ni apa hal? Dia tu jahat, pukul kau macam nak mati, kau masih nak duduk dengan dia? Gila ke?” Nour Zaed sudah hilang sabar. Nur Dhia terlalu berlembut!

            “Mak Cik Soraya satu-satunya saudara yang saya ada. Saya dah tak ada sesiapa lagi awak.” Nur Dhia menangis lagi. Mummy dan Tok Mak memandang penuh simpati.

            “Sekarang ni, kita balik rumah kita dulu. Rehat dan rawat luka-luka Dhia ni. Kemudian baru kita bincang hal yang jadi hari ini.” Mummy memberi cadangan. Tudung Nur Dhia dibetulkan letaknya. Jatuh kasihan kepada gadis ini. Anak haram? Mana ada anak yang haram. Anak yang lahir semuanya suci. Allahuakbar, mudahnya manusia melabel manusia lain sedangkan diri sendiri ada celanya.

            Baru melangkah beberapa tapak ke kereta. Hentakkan di belakang kepala membuatkan Nur Dhia mengaduh sakit. Semua yang ada turut tersentak. Beberapa beg pakaian yang menghempas tanah mengejutkan mereka. Tok Mak mengucap panjang. Belakang kepala Nur Dhia dipegangnya. Mujur sahaja bingkai kaca itu tidak melukakan kepala Nur Dhia, mujur sahaja Nur Dhia memakai tudung. Kalau tidak, sudah tentu habis berdarah kepala gadis itu. Sungguh perempuan tua itu sudah gila!

            “Astagfirullah, Soraya… awak ni memang tak beradab.” Tok Mak bersuara, hilang sabar. Mak Cik Soraya tak membalas, hanya menjeling tajam. Daun pintu dihempasnya. Nur Dhia mengalirkan air matanya sekali lagi. Malunya dia kepada keluarga Nour Zaed dengan apa yang berlaku. Johan dan Nour Zaed mengambil ke semua beg yang dibuang oleh Mak Cik Soraya dan di masukkan ke dalam kereta. Johan yang baru sampai sudah termengah-mengah. Nur Dhia mendekati Johan.

            “Johan hang tolong kak Dhia.” Nur Dhia bersuara dengan suara yang menahan sakit dan sengal-sengal.

            “Tolong apa kak? Macam tak biasa pulak kak Dhia. Hat Johan boleh tolong, Johan tolong. Haa apa dia?”Johan yang termengah-mengah mula mengambil nafas yang lebih teratur.

            “Hang jaga Mak Cik Soraya naa, tengok-tengok dia. Kalau ada apa-apa terus bagitau kak.” Johan sudah tergaru-garu kepalanya.

            “Jenuh tu kak. Tapi tak apalah. Johan cuba. Kalau ada apa-apa nanti Johan cari kak Dhia. Kak Dhia jangan risau.” Nur Dhia mengangguk, mengukir senyuman dalam payah. Hancur hatinya dengan tindakan Mak Cik Soraya. Mungkin inilah jawapan resah hatinya selama seminggu ini. Allah, kuatkanlah diriku.

            “Orang tu pijak dia, maki dia, boleh dia suruh budak tu jaga lagi. Awak ni Malaikat dari langit ke Dhia?” Tak habis lagi leteran Nour Zaed walaupun mereka semua sudah hampir sampai ke rumah. Mak Tok dan Mummy hanya menggelengkan kepala. Kurang senang dengan sikap Nour Zaed yang satu ini. Bila hatinya risau, marah, mulut takkan berhenti membebel.

            “Sudahlah Zaed, kesiankan Dhia. Dahlah sedih pasal tadi, kamu tambah lagi. Kamu nak buat dia menangis sampai esok ke?” Tajam sahaja Mak Tok menyindir. Dia sendiri tertekan mendengar leteran cucu kesayangannya itu. Nour Zaed sudah terdiam, namun masih menjeling Dhia yang berada di sebelahnya. Nur Dhia masih teresak nangis, sekali sekala di sapu air matanya.

            “Zaed nak kahwin dengan Dhia hujung bulan ni.” Nour Zaed bersuara lagi, membuatkan Nur Dhia berpaling memandang ke arah Nour Zaed yang memandu. Mak Tok dan Mummy hanya mengangguk perlahan. Faham benar perangai Nour Zaed, A katanya A sampai bila-bila.

            “Awak masih nak kahwin dengan saya?” Perlahan sahaja Nur Dhia menyoal, masih dalam esak tangisnya. Kurang percaya, sejak beberapa tahun dahulu Dhia cuba mencari satu tempat yang membolehkan dia menyorok dari manusia-manusia yang mengenalinya. Yang tahu asal usul dirinya yang dia sendiri tidak pasti. Kini muncul lelaki yang masih tidak jelas siapa sebenarnya menerima dia yang tidak pasti asal usulnya.

            “Kan saya pernah kata, apa pun yang berlaku awak tetap akan jadi isteri saya dan saya akan jadi suami awak. Faham? Kalau faham, kesat air mata, air hidung. Esok kita bertunang.” Mudah sangat Nour Zaed membuat keputusan. Nur Dhia sendiri dalam keadaan keliru. Malu. Masakan tak malu bila begitu kelakuan dan tindakan Mak Cik Soraya terhadap Mak Tok dan Mummy. Malu! Maruahnya dipijak-pijak dan dihina.

            “Saya sendiri tak pasti saya ini lahir secara sah atau tidak, kenapa awak pasti untuk memperisterikan saya?” Soal Nur Dhia, sebaik sahaja Mak Tok dan Mummy beransur masuk ke dalam rumah. Nour Zaed menutup pintu kereta dan menekan alarm. Nur Dhia dihampirinya. Nour Zaed memandang Nur Dhia tanpa kelip. Keluhan berat dilepaskan.

            “Awak ni suka makan semut? Cepat sangat lupa. Bukan saya dah jelaskan ke? Takkan tak faham lagi?” Nour Zaed menjawab dengan nada mendatar dan kurang senang. Tidak marah cuma rimas. Rimas dengan Nur Dhia yang payah untuk faham.

            “Ya saya faham. Apa pun jadi, apa pun yang halang, kita berdua tetap akan jadi suami isteri. Tapi yang saya tak faham, mudah benar awak terima saya. Sedangkan seminggu ini saya risau dan resah. Kalau awak tahu siapa saya yang sebenarnya. Sekarang awak tahu siapa saya, tapi awak macam tak terkejut.” Nur Dhia menjelaskan, panjang lebar. Hatinya kurang senang dengan penerimaan Nour Zaed dan keluarganya yang teramat mudah!

            “Apa masalah dengan asal usul awak? Lagi mudah untuk uruskan perkahwinan kita. Tak perlu cari wali sebab jelas awak tiada wali. Saudara awak Mak Cik Sihir tu aje kan. Awak sebatang kara. Jadi, apa masalahnya?” Nour Zaed menjawab lagi, Nur Dhia hilang sabar.

            “Awak ni faham atau hanya buat-buat faham? Saya sendiri tak pasti saya ni anak sah atau tidak!” Nour Zaed merengus. Bahu Nur Dhia dicengkam kuat. Dipaksa Nur Dhia memandang tepat ke matanya.

            “Siapa pun awak, saya akan tetap dengan keputusan saya. Saya dah kenal awak lama Nur Dhia Adzara Binti Ahmad, tetapi awak sahaja yang membutakan mata awak untuk kenal saya.” Nur Dhia sudah keliru dan kusut. Apa lagi yang tidak diketahuinya? Apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Nour Zaed? Kenal lama? Buta mata? Arghhh! Nur Dhia serabut.

            “Apa pun awak cakap, saya perlukan masa. Saya tak boleh bertunang dengan awak, apatah lagi berkahwin!” Bentak Nur Dhia. Baru sahaja Nour Zaed mahu membantah, Mummy menjengah keluar.


            “Apa lagi kamu berdua ni? Dhia cepat masuk rumah, Mummy nak letak ubat dekat muka kamu dan badan kamu, esok nak bertunang kena la berseri. Cepat masuk.” Nour Zaed hanya tersenyum lebar. Senyuman mengejek Nur Dhia. Nur Dhia takkan mampu menolak lagi. Kurang 30 hari Nur Dhia akan menjadi milik Nour Zaed. Amin!

Blind Date 4 : Mudahnya Kahwin!

BLIND DATE 4: MUDAHNYA KAHWIN!

            Nur Dhia memandang jauh ke arah ombak yang galak menghempas pantai. Hatinya masih lagi resah dan fikiran masih lagi berputar. Benarkah apa yang berlaku? Langsung tidak pernah terfikir olehnya akan sebuah perkahwinan. Desiran ombak pantai menenangkan hatinya. Nafas ditarik dalam-dalam. Ketenangannya terus hilang tatkala pinggangnya erat dirangkul suaminya, Nour Zaed. Tanpa kata, lelaki itu terus melabuhkan dagunya ke bahu Nur Dhia. Senyuman itu sejak semalam tidak hilang dari wajahnya. Nur Dhia mengeluh.

            “Aik, dah datang honeymoon pun mengeluh lagi?” Tenang sahaja Nour Zaed menyoal. Tidakkah dia rasa betapa berat untuk aku menerima semua ini? Nur Dhia berbisik sendiri. Nur Dhia kaku dalam rangkulan yang kian erat itu.

            “Sejak semalam sayang saya ni diam seribu bahasa. Awak tak redha dengan perkahwinan ni Nur Dhia?” Nour Zaed melepaskan rangkulan dipinggang isterinya. Nur Dhia dibawa menghadap wajahnya.

            “Bukan soal redha. Saya masih tak boleh hadam dengan apa yang berlaku. Awak, suami saya ni saya baru kenal 3 minggu lepas.” Nur Dhia mengeluh lagi.

            “Mengeluh untuk orang yang berputus asa.” Nour Zaed tetap tersenyum.   
         
            “Saya tak berusaha apa-apa, nak putus asa apanya.” Nur Dhia membalikkan tubuhnya menghadap ke pantai. Pagi itu sungguh indah, desiran ombak yang sedikit ganas namun menenangkan. Nour Zaed turut sama memandang ke arah yang sama.

            “Berusahalah. Sama macam saya berusaha mendapatkan awak untuk menjadi milik saya.” Lembut sahaja suara untuk menampar telinga Nur Dhia.

            “Saya akan berusaha, tapi cerita yang awak nak cerita tu bila agaknya dapat saya dengar?” Nur Dhia menjeling manja suami yang baru menikahinya semalam. Nour Zaed tersengih dengan gigi yang tersusun cantik.

            “Saya akan cerita, jom kita duduk dekat kerusi kat bawah sana, baru rasa macam syok sikit.” Nour Zaed menunding ke arah sebuah kerusi di pantai. Nur Dhia sekadar mengikut. Mahu tahu bagaimana akhirnya dia menjadi isteri kepada seorang lelaki yang asing baginya. Terlalu asing!

            “Ceritanya, saya terjatuh cinta dengan seorang gadis yang agak sombong, jual mahal. Akhirnya saya dapat tahu dia ada masalah keluarga. Kebetulan housemate dia is my close, very close friend. Jadi, dengan beberapa helah, akhirnya gadis itu berada di sisi saya sebagai isteri saya sekarang ini. The end!” Nour Zaed tersenyum lebar. Nur Dhia ternganga.

            “Haaah? Tak faham.” Nur Dhia blur sekejap. Cuba diatur kembali cerita Nour Zaed namun kabur. Nur Dhia mencebik. Nour Zaed mulai ketawa. Pipi Nur Dhia dicubitnya manja.

            “Bila kita jumpa? Bila saya sombong?” Nur Dhia mulai menyoal.

            “Kita jumpa 2 tahun lepas and sayang you took away my heart with you.” Nur Dhia semakin blur dan blur dan blur. Bila?!

            “Dua tahun lepas, sayang datang ofis abang untuk minta tajaan bagi projek sayang. Projek landskap sayang. Without knowing that I am the boss there, sayang bo layan aje abang. I do call you, message and macam-macam lagi. Tapi sayang sombong sungguh.” Nour Zaed mula membuka kisah yang misteri bagi Nur Dhia.

            “Bukan sombong. Bukan sengaja buat-buat sombong. Awak tu menggatal semacam aje. Dah tu kerek pulak tu.” Nur Dhia menjuih bibir. Nour Zaed hanya tersengih.

            “Lagi pun. Siapa nak terima saya kalau tahu asal usul saya entah dari mana datangnya. Entah secara halal atau sebaliknya.” Lirih sahaja Nur Dhia menutur kata-kata. Nour Zaed menarik Nur Dhia rapat ke tubuhnya. Ubun-ubun isterinya dikucup penuh kasih.

            “I love you. Dari awal saya tahu siapa awak. Sarah dah cerita dekat saya. Siapa awak, sikap awak dan macam-macam lagi.” Nour Zaed menggenggam erat jemari Nur Dhia.

            “Saya kenal Sarah only 6 month, macamlah dia tahu semuanya. Saya bukan cerita sangat pasal saya dekat dia.” Nur Dhia membalas genggaman tangan Nour Zaed, dieratkan genggaman antara mereka. Nour Zaed tersenyum.

            “Saya cari. Saya sangat-sangat fall in love with you sayang. Jadi saya cari. Bermula selepas awak pindah ke Ipoh. Bukan susah, orang kampung awak memang internet yang sangat laju. Kalah Unifi.” Nour Zaed tergelak. Mana tidaknya, terkenang saat dia mencari siapa Nur Dhia sewaktu di kampung isterinya. Tanya sahaja siapa Nur Dhia, kisah dari kecik sampailah sekarang semua diorang tahu. Hebat! Kuasa mengumpat sangat!

            “Diorang memang suka cerita saya, sebab tu saya belajar sungguh-sungguh sampai dapat masuk asrama, masuk Universiti. Saya nak lari dari diorang. Ayah cakap lain, diorang cakap lain. Saya percaya ayah, tapi bila Mak Cik Soraya beria-ria bencikan saya, kadang-kadang saya jadi percaya. Saya mungkin anak luar nikah. Tapi ayah…” Nur Dhia terdiam. Sukar bagi dia menerima semua itu. Ayah terlalu baik, sangat baik.

            “Ayah baik. Sangat baik. Jadi saya kena percaya, saya anak ayah yang sah. Sebab tu saya berbinkan ayah.” Nur Dhia menyambung kata. Nour Zaed sekadar mengangguk tanda setuju.

            “Jangan risau sayang, saya akan berusaha lagi sikit untuk dedahkan siapa awak sebenarnya.” Nur Dhia berkerut.

            “How?” Soalnya lagi. Nour Zaed menjongket bahu dan tersenyum.

            “Buat masa ni kita lupakan sekejap hal-hal tu semua. Abang nak sayang fikirkan abang aje dan kita enjoy this moments together. Boleh sayang?”

            “Kenapa awak ni kejap berabang sayang kejap awak saya?”

            “Belum biasa, sayang pun tak panggil abang, abang.” Nour Zaed membalas. Nur Dhia hanya mencebik.

            “Belum biasa. Saya baru sangat kenal awak Encik Nour Zaed. Baru kenal sikap kerek awak, sikap paksa awak. Beri saya masa nak kenal awak sebenar-benarnya awak.” Ujar Nur Dhia. Nour Zaed mengangguk walaupun terasa juga dengan kata-kata Nur Dhia.

            “Okay, ambil masa awak. Saya tak jamin kalau selepas awak kenal saya awak akan sentiasa angau dengan saya. Sampai nak ke toilet pun awak nak ikut.” Nur Dhia mencebik.

            “Masa tu kalau saya jatuh cinta dan angau sekali pun tak apakan, sebab kita sekarang suami isteri. Memang patut pun saling mencintai.” Nur Dhia mengena Nour Zaed kembali.

            “Jadi, awak terima saya?” Soal Nour Zaed lagi. Nur Dhia menjungkit bahu.

            “Mungkin.” Nour Zaed ketawa. Biarpun Nur Dhia kini miliknya, tetapi untuk memiliki hati gadis itu bukan mudah. Memaksa untuk mencintai bukanlah yang diinginkannya. Dia hanya memaksa Nur Dhia menerimanya tetapi untuk mencintainya kembali sebagaimana Nur Dhia dicintainya, dia akan bersabar. Selama mana pun diperlukan dia akan bersabar.

            “Jom, saya nak main jet ski.” Ujar Nour Zaed terus sahaja bangkit dari kerusi yang diduduki mereka. Nur Dhia hanya memandang.

            “Tak nak ikut?” ujar Nour Zaed melihatkan Nur Dhia masih duduk di tempat sama. Nur Dhia menggeleng.

            “Malas dan takut air. Saya tak pandai berenang.” Nour Zaed hanya tersengih seperti kerang.

            “Saya ada janganlah risau. Suami awak akan sentiasa peluk awak kalau awak takut lemas.” Nur Dhia mencebik.

            “Tu yang saya takut sangat.” Nour Zaed ketawa.

            “Kalau awak tak ikut, malam nanti saya akan buat awak lemas dalam pelukan asmara saya.” Nour Zaed mengugut dengan kening yang sengaja diangkat-angkat. Nur Dhia mendengus.

            “Kalau tak 18sx sangat boleh tak? Geli!”

            “Nak ikut ke tak?” Nour Zaed menghulurkan tangannya.

            “Janji tau jaga saya, saya tak pandai berenang, kalau jatuh dalam air sana terus selamatkan saya tau.” Nur Dhia meminta, Nour Zaed tersenyum dan mengangguk perlahan. Isterinya sangat comel! Nur Dhia mencapai tangan suaminya dan mereka melangkah menghampiri tempat sewaan jet ski. Genggaman tangan tak dilepaskan. Hati Nur Dhia Adzara pasti, Nour Zaed ikhlas menerimanya walaupun cerita lelaki itu masih diragukan. Lelaki ini suka memaksa tetapi paksaannya buat Nur Dhia jatuh cinta!


Tuesday, October 13, 2015

maaf atas kesunyian dan kelewatan!

Assalamualaikum.
hye semua.

maaflah abc menyepi.
sedang usaha untuk 'selera' menulis kembali.
abc sibuk di sekolah dan sibuk dengan 'kelembikan' diri,
abc dalam proses membiasakan diri dengan perubahan diri :)

idea banyak.
selalu mimpi cerita baru.
semua sedih.
hahaha emosi ibu ibu sangat!

abc akan tunai janji nak habiskan cerita yang ada dulu.
selesaikan Blind Date dan lain-lain :)

selalu doakan abc ye.
much love readers!

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders