Thursday, September 13, 2012

Cerpen : Cik Abang BMW (part 4)

Nurin mengesat air matanya yang sedari tadi tidak mahu berhenti daripada mengalir. Sudahlah beberapa hari ini dia berada dalam keadaan tertekan dengan fitnah dan tohmahan Megat yang tidak berasas sehingga Azra memandangnya hujung mata. Panggilan daripada Acik Emah itu membuatkan dia benar-benar sedih dan terguris hati. Berapa sangatlah duit pencen abah setiap bulan untuk menampung makan minumnya sepanjang belajar yang Acik Emah kecohkan? Tak cukup lagikah wang yang abah tinggalkan untuk dia dan anak kesayangannya itu? Hati Nurin berbicara sendiri.
            “Dr. Sufean, kalau hari ni saya tak kerja boleh tak?” Tareeq yang sedang membuat kerja hanya mengeluh perlahan. mata sedikitpun tidak dilarikan daripada kerja-kerjanya.
            “Kenapa? Kerja awak dah tertangguh beberapa hari, esok sepatutnya awak dah kena siap kemaskan bilik saya kan?” Tareeq menyoal, apabila masuk bab kerja, Tareeq Sufean seorang yang sangat sukar untuk berkompromi.
            “Esok saya datang buat kerja dari pagi, kelas saya kebetulan batal esok. Boleh tak Dr. saya nak cuti harini?” Nurin memohon lagi, kepala sudah pening akibat terlalu banyak menangis sebentar tadi. Tareeq mengangkat mukanya dan memandang terus ke arah Nurin, serta merta Nurin menundukkan wajahnya. Malu jika Tareeq Sufean perasan dia baru sahaja lepas menangis.
            “Nurin, duduk dulu.” Tareeq yang lebih cepat menangkap raut wajah Nurin, serta merta menjadi gelisah sendiri. Nurin hanya akur, kerusi di hadapannya ditarik lalu dilabuhkan duduk.
            “Tell me. Apa masalah awak hari ni?” Tareeq merapatkan tubuhnya ke meja. Tangannya mengambil sekotak tisu di belakang lalu diletakkan di hadapan Nurin. Nurin diam tidak berkata walau sepatah. Nurin sedar kini dia sudah terperangkap sendiri oleh Tareeq. Keluhan dilepaskan perlahan.
            “Saya tak sihat, sebab tu saya nak minta cuti hari ni.” Nurin cuba mengelak.
            “Saya tak nampak awak macam tak sihat, tapi saya nampak awak macam baru lepas menangis.” Nurin mengeluh lagi. Wajahnya tetap menunduk.
            “Awak boleh cerita dekat saya, saya boleh dengar.” Tareeq cuba memujuk. Entah kenapa, sejak terlihat keruhan wajah Nurin, hatinya melonjak mahu tahu.
            “Saya tak bersedia nak cerita dekat sesiapa.” Nurin menjawab perlahan. Tareeq mengangguk faham. Tangannya lincah mengemas meja.
            “Kalau macam tu, jom… saya belanja awak ais krim. Benda-benda sejuk ni boleh legakan hati dan fikiran yang serabut.” Nurin hanya mendengar, dan tidak terkata apa-apa. Tareeq memang suka membuat keputusan sendiri.
            “Saya lebih suka tidur bila ada masalah.” Nurin yang turut bangun daripada duduk, bersuara perlahan. Tareeq hanya ketawa kecil dengan perakuan jujur Nurin Jannah.
            “Nanti bangun kita akan lupa masalah tu, kan?” Tareeq menyambung, Nurin mengangguk laju, bersetuju.
            Erm… Dr.Sufean pun suka tidur bila ada masalah?” Nurin menyoal sewaktu mereka melangkah menuruni tangga. Tareeq ketawa lagi, suka benar dia mendengar persoalan Nurin yang kedengaran ‘comel’ ditelinganya.
            “Zaman belajar dulu la, saya dulu pun student juga. Tapi saya tidur lepas saya makan ais krim.” Tareeq berseloroh. Nurin hanya mencebik, iye-iye je, bisik hati Nurin.
            “Erm… perlu ke saya ikut Dr?” Nurin menyoal sebaik mereka sampai di kereta Tareeq.
            “Nurin, Kenapa setiap kali dah sampai kereta mesti tanya lagi? Perlu! Okay?” Tareeq menjawab, serius.
            “Saya nak tidur.” Nurin membentak.
            “Tidur lepas makan ais krim.” Tareeq menjawab dengan bersahaja, pintu kereta dibuka lalu terus melangkah masuk. Dari dalam kereta, Tareeq membuka pintu untuk Nurin. Nurin menundukkan kepalanya sedikit, sekadar menampakkan wajah.
            “Untuk apa saya ikut? Saya nak cuti hari ni…”Nurin menolak lagi. Tareeq berdecit.
            “Saya nak awak cerita dekat saya kenapa awak menangis teruk sangat dekat tepi masjid tadi. Clear? Cepat masuk.” Nurin terkedu. Dia nampak ke?
            “Tapi, saya meluat tengok kereta ni!” Nurin membentak kuat, tangannya menampar bumbung kereta, membuat Tareeq tersentak. Beberapa saat kemudian Tareeq ketawa.
            “Kereta  nilah buat kita kenal tau.”
            “Tu lagi meluat.” Nurin sekadar berbisik, namun jelas untuk didengari oleh Tareeq.
            “I’m your boss after all. Masuk cepat.” Tareeq bersuara tegas. Nurin mengeluh berat, kakinya tetap melangkah masuk ke dalam kereta. Untuk kesekian kalinya, Nurin hanya menurut kata Tareeq, dia sendiri tidak pasti kenapa dia mudah mengalah apabila berdepan dengan Tareeq.
++++++++++++
            Nurin merenung semangkuk Tutti Frutti di hadapannya. Tareeq sudah hampir licin dihentamnya. Sesekali Tareeq mengerling wajah Nurin yang monyok di hadapannya. Tareeq menyuap ke mulutnya sudu yang terakhir.
            “I’m finished.” Tareeq menolak mangkuk kertas itu ke tengah meja. Nurin tersentak kecil, bagai baru tersedar dari lamunannya.
            “Depan rezeki tak baik buat muka macam tu.” Tareeq sekadar mahu menukar situasi kelam yang dirasakan sekarang. Nurin hanya memandang Tareeq sekilas sebelum melepaskan pandangannya ke tempat lain.
            “Erm… kalau tak nak makan, jom lah balik.” Tareeq bersuara lagi, kali ini bernada hampa. Kunci kereta yang diletakkan di atas meja di ambil, lalu dia terus bangun dari kerusi. Nurin memandang tanpa perasaan. Nurin menggalas beg kuliahnya, lalu turut bangun dari kerusi. Tutti Fruitti yang tidak diusik turut di bawa bersama. Langkah Tareeq yang sudah ke depan, dikejar perlahan.
            “Sorry, saya takde mood.” Nurin bersuara perlahan apabila dia berjaya menyaingi langkah Tareeq. Tareeq serta merta memberhentikan langkah.
            “Saya ajak awak ke sini, nak happykan awak. Tak sangka buat awak hilang terus mood awak.” Tareeq seolah-olah berjauh hati. Nurin serba salah.
            “Dr. Sufean, itu bukan apa yang saya maksudkan.”
            “Habis tu?” Tareeq memeluk tubuh, wajah Nurin ditenung sedalamnya. Nurin kian resah, pandangan orang sekeliling membuatkan dia tidak selesa.
            “Tempat ni buat saya lagi serabut. Tengok kiri tu, rasanya tu students Dr kan? Dari tadi pandang kita semacam. Saya tak nak kontroversi.” Tareeq memaling tubuhnya ke arah yang dinyatakan. Sekumpulan pelajar perempuan yang sedang menjamu selera di food court kelihatan sedang memandang dan berbisik-bisik.
            “A’ah, students saya. Oh, sebab tu la awak monyok aje. Makan pun taknak?” Nurin mengangguk laju.
            “Jom hantar saya balik.” Nurin bersuara lagi, Tareeq menjungkit sebelah keningnya.
            “Eh, tak nak kontroversikan? Balik sendiri la. Bye, Assalamualaikum.” Tareeq terus berpusing ke belakang dan melangkah tanpa menoleh kepada Nurin. Nurin tergamam. Pulak? Malas melayan, Nurin melangkah ke arah bertentangan. Tak nak hantar sudah! Hati Nurin membentak perlahan.
            Mulanya dia ingin terus ke hentian teksi di hadapan Jaya Jusco itu, tetapi kerana emosi yang belum stabil, dia bercadang untuk merehatkan kepalanya yang memberat itu dengan mencuci mata di kedai buku MPH. Tak beli pun takpe, asal boleh lepas rindu! Nurin berbisik sendiri. Laju kakinya melangkah menaiki escalator untuk ke kedai buku MPH. Sesekali tutti fruitti disuap ke mulut. Tanpa sedar, Nurin melangkah dengan senyuman.
            Beberapa buah buku motivasi di beleknya. Tiada yang menarik, kalau menarik pun dia tidak dapat membelinya. Nurin melangkah ke bahagian depan, yang menempatkan novel-novel Bahasa Melayu. Novel yang agak menarik di matanya di ambil dan di belek seketika. Boleh dikatakan, semua novel di ambil dan synopsisnya di baca.
           “Baca synopsis pun boleh senyum sorang-sorang?” Suara itu mengejutkan Nurin yang sedang asyik membaca. Hampir sahaja terlepas novel itu daripada tangannya. Tareeq yang tersengih-sengih di hadapannya dijeling tajam. Ada lagi dia ni? Ingat dah balik, bisik Nurin di dalam hati.
            “Amboi sombong, siap jelling lagi.” Tareeq mengusik lagi.
            “Dr. Sufean buat apa kat sini, bukan nak balik ke tadi?” Nurin menyoal tajam.
            “Eh, ni tempat awam. Saya punya suka la.” Tareeq menjawab dengan nada berlagak, sengaja mahu meng‘hangat’kan Nurin.
            “Okay.” Nurin terus melangkah keluar daripada kedai buku MPH itu. Menyampah pula apabila sampai sikap Tareeq yang berlagak ini. Nurin melangkah laju ke arah pintu keluar yang berada bersebelahan kedai buku MPH.
            “Datang dengan saya, balik dengan saya. Jom.” Lengan Nurin digenggam erat dan ditarik agar menyaingi langkahnya. Nurin tergamam, terasa kakinya bagai mahu tercabut akibat terkejut besar dengan tindakan berani Tareeq Sufean.
            “Dr. Sufean.” Nurin bersuara agak terjerit. Tareeq yang masih erat memegang lengan memberhentikan langkah.
            “Why?”
            “Lepaskan tangan saya.” Nurin bersuara lagi, dengan nada tegas. Matanya disorotkan ke arah lengan yang dipegang oleh Tareeq.
            “Tak nak.” Nurin tercengang.
            “Kita bukan muhrim. Please.” Nurin masih mengawal suaranya. Tareeq menggeleng, pegangannya di eratkan lagi, hampir sahaja Nurin terjerit akibat sakit dipegang seerat itu.
            “Saya tak lari lah.” Nurin cuba melepaskan pegangan itu.
            “Okay saya akan lepaskan, tapi bersyarat.” Nurin memandang tajam, Tareeq sudah melampau!
            “Kenapa perlu saya ikut syarat Dr tu?” Nurin bertegas.
            “Okay kalau tak nak, saya pegang dekat sini….” Tareeq cuba menggenggam jari jemari Nurin.
            “Okay!” Nurin cepat-cepat menjawab, dengan Tareeq dia tahu, segalanya mungkin terjadi. Tareeq tersenyum puas.
            “Syarat dia mudah. Awak ikut saya, 5 jam lagi saya hantar awak balik kolej.” Lengan Nurin akhirnya dilepaskan. Nurin terus sahaja mengurut lengannya yang terasa kebas. 5 jam lagi dia perlu menghadap si kerek Tareeq Sufean ini? Jam di tangan dibeleknya, baru pukul 6.15 petang.
            “Kita solat asar dulu.” Nurin bersuara sebaik masuk ke dalam kereta. Tareeq sekadar mengangguk perlahan, bibirnya tak lekang dengan senyuman. Menyampah!
++++++++
            Tareeq kelihatan asyik benar memandang ke laut. Sesekali didepakan tangannya, seolah-olah membenarkan angin laut itu menampar batang tubuhnya. Nurin hanya memerhati daripada belakang. Tak lama kemudian, Tareeq melabuhkan duduknya di sisi Nurin Jannah.
            “So, ceritalah…” Tareeq bersuara. Nurin mengerut dahi.
            “Cerita apa?” Nurin pula menyoal.
            “Sebab musabab awak menangis tengah hari tadi?” Tareeq menyandar tubuhnya ke bangku yang diduduki olehnya.
            “Kena cerita ke?” Nurin kembali menyoal.
            “Tak cerita, sampai esok saya bawa lari awak.” Nurin menelan air liur. Kalau dia buat betul-betul, mati aku! Nurin berbisik sendiri. Tareeq yang berada di sebelah di pandang sekilas sebelum melarikan pandangannya. Ada senyuman penuh makna dihujung bibir lelaki itu.
            “Ugut.”
            “Cerita je lah…” Desak Tareeq. Nurin menarik nafas sedalam-dalamnya.
            “Kalau saya cerita, lepas ni Dr buat-buat tak kenal saya ye dan saya harap Dr tak marah.” Tareeq mengerut dahi.
            “Kenapa pula?” Nurin menundukkan wajahnya.
            “Malu dan memalukan.” Bisik Nurin perlahan.
            “Saya pendengar yang baik, bukan penghebah terbaik. Semua saya simpan kat sini.” Tareeq menepuk dadanya perlahan.
“Walaupun berkaitan dengan Dr?” Tareeq mengangguk. Nurin menghela nafas perlahan, lalu mula bercerita dari awal hingga ke akhirnya. Sepanjang Nurin Jannah meluahkan segala apa yang dipendam, tidak sekalipun Tareeq menyampuk atau mencelah. Dia sekadar mengangguk tanda faham. Dan sepanjang Nurin bercerita itulah, dia mengambil kesempatan, menelek setiap ruang wajah gadis berkulit sawo matang itu. Apabila Nurin mengalih wajah, cepat-cepat dia melarikan pandangan. Sesekali hatinya berbisik sendiri, takkan betul pulak apa mama cakap tu? Tak mungkin.
            “Erm… sebab tu saya menangis dekat tepi masjid tengah hari tadi. Saya rasa terbeban sangat.” Nurin mengakhiri kisah hatinya.
            “Boleh awak tunjukkan Megat tu yang mana satu?” Tareeq bersuara tegas. Nurin sudah tercengang.
            “Dr kata Dr takkan marah.” Nurin menyoal, kelam kabut.
            “Saya tak marah, cuma nak tahu mana satu.” Tareeq bersuara dengan nada tenang.
            “Dr biarkan aje boleh? Tak payahlah tahu mana satu.” Nurin tidak mahu hal itu dibesar-besarkan.
            “Nurin, katakanlah satu hari nanti, isu ni akan naik sampai ke pihak atasan. Awak tahukan, isu ni bukan kecil. Kalau pihak atasan dah ambil tindakan, awak boleh dibuang Universiti. Saya takde hal, saya hanya kerja sambilan sebagai pensyarah. Mahu?” Nurin mengetap bibir. Bukan dia tidak fikirkan hal itu, cuma dia tidak tahu apa perlu dilakukan. Megat bukan lawannya, sedangkan kawan baiknya sendiri boleh terpengaruh apatah lagi orang lain.
            “Tapi…”
            “Jangan risau, saya akan bincangkan hal ini dengan Prof Azizi. Awak tunjukkan siapa Megat Johan tu dekat saya.” Tareeq bersuara lagi, penuh ketegasan.
            “Prof Azizi kenal Megat, saya kerja dengan Prof Azizi pun sebab dia yang cadangkan.” Tareeq mengangguk dengan jawapan Nurin.
            “About your step mother, nanti awak bagi aje berapa yang dia nak. Duit lapan ratus tu saya tak sentuh, nanti saya bagi balik.” Tareeq betul-betul membuat Nurin terkesima.
            “Mana boleh, kan saya kata itu duit Dr.” Nurin bersuara tegas.
            “Memanglah, saya tak kata duit awak pun…” Nurin mengetap bibir, geram!
            “Saya tak naklah, Acik Emah tak boleh paksa saya. Itu hak saya untuk bersetuju atau tak.” Nurin berkeras. Tareeq menggeleng dengan kedegilan Nurin.
            “Nurin, keras lawannya lembut. Bukan keras juga. Nanti saya bagi duit tu, awak bank-in dengan mak cik awak tu. Jangan degil.” Tareeq bersuara dengan tegas.
            “Siapa degil sekarang, Dr ke saya?” Tareeq dijeling tajam.
            “Ish… budak ni, menjawab pulak.” Nurin menjuih bibir, tangannya memeluk tubuh. Gaya tidak puas hati.
            “Kalau keras lawannya lembut, saya setuju ajelah dengan cadangan Acik Emah tu. Lembut sangatkan…” Nurin membidas. Tareeq tergelak kecil. Nurin memang penuh dengan jawapan. Comel!
            “Okay, kalau orang tu nak bayar 5 ribu. Apa kata saya pergi jumpa mak cik awak dan tawarkan 10 ribu dekat dia. Awak rasa dia terima atau tolak?” Nurin terpempan, mulutnya ternganga, matanya terbuka besar.
            “Keras lawannya lembutkan…” Tareeq menyindir. Nurin tidak dapat membalas, hatinya berdegup laju. Terkejut dengan pernyataan spontan Tareeq Sufean.
            “Tak jadi lawan.” Nurin bersuara perlahan. Kata-kata itu meletuskan tawa Tareeq, dari hanya ketawa kecil sehingga mengalir air mata. Nurin hanya mengigit bibir menahan geram. Dia tahu, dia sudah dipermainkan, dasar lelaki kerek!
            “Jangan marah nanti kena jual.” Tareeq terus mengusik.
            “Memang nak kena jual dah.” Nurin menjawab.
            “Haa… tu la jangan marah. Marah kena jual.” Nurin menjeling, Tareeq masih dengan sisa tawanya.
            “Nurin, awak perasan tak?”
            “Tak.” Nurin menjawab sepatah.
            “Awak memang tak perasan tapi perasaan.” Nurin mengetap bibir, Tareeq ni ada-ada sahaja benda hendak mengenakan dia.
            “Nurin.” Tareeq memanggil. Nurin hanya berdiam diri.
            “Nurin.” Tareeq memanggil lagi.
            “Erm…” Nurin masih dengan amarahnya. Tareeq hanya tersenyum.
            “Saya mintak maaf.” Pernyataan yang kedengaran ikhlas itu membuatkan Nurin memandang Tareeq yang sedang memandang tepat pada wajahnya.
            “Maaf?” Tareeq mengangguk.
            “Untuk?” Soal Nurin lagi, tidak faham.
            “Sebab pegang lengan awak tadi, walaupun berlapik saya tahu ia tidak manis. Maaf ye.” Nurin menghela nafasnya.
            “Dah tahu kenapa buat?” Tareeq cuma tersenyum dengan wajah yang ditundukkan.
            “Nak layan degil awak, keras awak. Itu aje caranya Cik Nurin Jannah.” Nurin membeliakkan matanya. Tareeq tersenyum lebar, sehingga kedengaran tawa dihujungnya.
            “Sedegil degil saya, sekeras keras saya. Saya tidak sekerek Dr.” Nurin membidas.
            “Cececece… Nurin Jannah marah lagi.” Nurin hanya mencebik. Tareeq memandang lepas ke laut yang berada di hadapan mereka. Nafasnya di tarik sedalam yang mungkin. Wajah mulus gadis di sisinya itu, di pandang.
“For all things that I have done, that have hurt you, I’m sorry. For words that have carved your heart, I'm sorry.” Nurin memandang Tareeq yang berada di sebelahnya, pandangan yang mencari keikhlasan lelaki itu. Kata-kata yang keluar dari mulut Tareeq Sufean sebentar tadi, membuatkan degup jantung Nurin berdetak tidak seiring, hilang rentaknya. Ikhlaskah dia?        
+++++
part 5 will be the final part. ^^
tunggu esok ya.
sori harini post lambat sikit. 
much love readers.
hope, korang dapat beri komen sepatah dua kata naaa~~~
 

Wednesday, September 12, 2012

Cerpen : Cik Abang BMW (Part 3)








Nurin tercungap-cungap menaiki tangga. Kelasnya baru sahaja tamat, setelah itu dia bergegas ke Fakulti Alam Bina yang tidak jauh daripada Fakultinya. Hari ini dia akan bekerja di bilik pensyarah yang lain. Menurut Profesor Azizi, pensyarah itu akan ada malam ini. Semua tugas kerjanya akan diberitahu oleh pensyarah itu sendiri.
            Pintu bilik diketuknya perlahan, lalu tombol pintu dipulas perlahan lantas salam diberikan.
            “Waalaikummusalam. Please come in.” Suara itu terlalu biasa di telinga Nurin. Wajah pensyarah itu tidak dapat dilihat kerana dia sedang duduk di kerusinya sambil memandang ke arah bertentangan, seperti sedang mengambil sesuatu di almari belakangnya. Hati Nurin berasa tidak senang. Janganlah dia, Nurin berdoa di dalam hati.
            “Saya Nurin Jannah yang bekerja bawah Prof Azizi.” Nurin memperkenalkan diri. Sebaik sahaja kerusi itu dipusing, Nurin terpempan. Dia lagi?
            “Saya tahu, terima kasih sebab datang walaupun lambat daripada yang dijanjikan.” Ujar Tareeq tanpa memandang ke arah Nurin sedikit pun, tangannya ligat menyelek helaian kertas di hadapannya.
            “Saya minta maaf. Kelas saya baru habis pukul 6.15 tadi.” Nurin cuab menjelaskan.
            “Takpe, saya faham. Lagipun ini bukan kali pertama awak lambatkan.” Entah kenapa Tareeq suka benar menyindirnya.
            “Dr. Sufean nak saya buat apa?” Tareeq mengangkat muka memandang tepat ke anak mata Nurin yang sedang memandangnya. Beberapa ketika, Nurin mengalihkan wajah ke tempat lain.
            “Memandangkan saya pensyarah sambilan, jadi saya dapat bilik lama. Tapi bilik ni agak besar. Barang-barang saya, hanya apa yang ada di meja dan rak belakang ni aje.” Tangan Tareeq digawang ke arah kawasan yang menempatankan barangannya.
            “So, selain daripada tempat yang saya tunjuk tu, awak boleh masukkan ke dalam box. Boleh?” Tareeq memberikan penerangan yang terperinci dan jelas. Nurin mengangguk faham.
            “Okay, kalau faham, awak boleh mula.” Ujar Tareeq dengan senyuman. Tareeq menyambung kembali kerja-kerja yang tertangguh tadi.
            “Dr.Sufean, boleh saya buka pintu ni sikit?” Tareeq memandang Nurin seketika, lalu mengangguk bersetuju. Dia memandang Nurin yang cuba menyekat pintu supaya terbuka sedikit. Bahaya juga kalau berdua-dua dalam bilik waktu malam begini, naya kalau kena cekup!
            Mereka berdua senyap membuat kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, pasti ada sahaja perkara yang membuat mereka berlawan kata. Nurin mula mengemas rak-rak buku yang ada. Sambil mengemas, Nurin membelek setiap buku, siapa tahu ada buku yang masih elok dan boleh digunakannya.
            Suara azan Maghrib memberhentikan kerja-kerja Nurin. Beg sandangnya di ambil dan bekal air dikeluarkan, setelah membaca doa, Nurin meneguk beberapa kali air tersebut. Satu beg plastik kecil dikeluarkan, ada beberapa biji kurma di dalamnya. Nurin ambil satu kurma lalu dijamahnya perlahan. Tanpa dia sedari, tingkah lakunya diperhatikan oleh Tareeq dari arah meja kerja. Tangan Tareeq masih menyelak helaian kertas tetapi matanya tekun melihat tingkah Nurin yang duduk di lantai.
            “Awak puasa Nurin?” Nurin terkejut dengan teguran itu, hampir sahaja dia tersedak akibat terkejut.
            “Ye, puasa.” Nurin membalas ringkas.
            “Rajin puasa. Ganti ke?” Wajah Nurin memerah dengan persoalan itu.
            “Tak, puasa sunat.” Nurin cepat-cepat menjawab. Tareeq tersengih sendiri. Nurin mengemas beg sandangnya. Lalu berdiri berdepan dengan Tareeq yang masih duduk di kerusi.
            “Dr. Sufean, saya pergi solat dulu ye.” Tareeq memandang Nurin yang berdiri di hadapannya.
            “Awak solat dekat mana?”
            “Saya pergi masjid, dekat aje.”
            “Berani?”
            “Dah biasa beberapa hari ni…”
            “Toilet perempuan hujung sini aje, awak ambil wuduk then solat dekat dalam bilik ni je. Bolehkan, dekat sikit daripada masjid.” Tareeq memberikan cadangan. Nurin berfikir-fikir, dia segan sebenarnya duduk berdua dengan Dr.Sufean malam-malam begini. Kalau ke masjid sekurang-kurang dia boleh berehat beberapa minit daripada terus berada di depan Dr. Sufean.
            “Jom, saya pun nak pergi ambil wuduk.” Tanpa sedari, Tareeq sudah siap menyinting tangan kemejanya ke siku. Nurin yang mengelamun sendiri, terpinga-pinga. Nak tak nak, dia sudah terlambat untuk mengelak. Nasiblah!
++++++++++
                        Tareeq meletakkan pen yang sedari tadi digunakannya ke atas meja. Nurin masih leka membersihkan rak-rak buku, ada yang sudah siap dimasukkan ke dalam kotak, dan ada juga yang masih bertaburan di lantai.
            “Kenapa awak buat kerja part-time?” Nurin kalih memandang Tareeq yang tiba-tiba bersuara.
            “Nak cari duit lebih.” Tareeq mengangguk perlahan.
            “Sebelum ni pernah kerja part-time?” Soal Tareeq lagi.
            “Tak, ni kerja pertama saya. Kalau dekat kampung selalulah buat part-time waktu cuti sem.” Nurin menjelaskan panjang lebar.
            “Saya ke yang buat awak buat kerja part-time ni?” Tareeq menyoal lagi, jujur dia ingin tahu.
            “Taklah, kenapa pula sebab Dr?”
            “Sebab saya minta ganti rugi kereta saya tu…” Nurin tersenyum hujung bibir.
            “Itu namanya rezeki Dr. Sufean, mungkin rezeki saya adalah dengan buat part-time ni.” Nurin menjawab sopan, malas mencari pasal. Tareeq  tertarik dengan jawapan Nurin.
            “Awak nak saya bagi kerja yang sama berat, tapi upah lagi tinggi. Kerja sekarang sebulan awak dapat lebih kurang RM280 kan. Kerja yang saya nak bagi ni double gaji awak sekarang. Nak?” Nurin berkira-kira, wajah Tareeq dipandangnya sekilas.
            “Kerja apa Dr?” Tareeq tersenyum lebar, pancingnya mengena.
            “Kerja jadi P.R saya. Nak?”
            “P.R? Pembantu rumah?” Nurin terkejut, main-main ke apa ni?
            “A’ah, basuh baju saya, kemas rumah saya yang sememangnya sedia kemas, masak untuk saya. Kerja yang lebih ringankan?” Tareeq ketawa kecil, Nurin mencerut wajahnya.
            “Tak naklah saya.” Nurin menjawab senada. Malas melayan Tareeq yang selalu sahaja mencari fasal.
            “Kalau kerja tu tak nak, ada satu lagi kerja, saya bayar lagi mahal. Seribu sebulan. Nak?” Nurin yang tahu Tareeq sedang main-mainkan, hanya mencebik bibir.
            “Nak tak?” Soal Tareeq lagi.
            “Ish, kerja apa lagi Dr? Tukang urut pulak?” Nurin menggigit lidahnya yang terlepas kata.
            “Haa.. tu termasuklah dalam skop tugasan.” Tareeq ketawa lagi.
            “Mengarut aje kerja-kerja Dr, kerja apa lagi Dr?”
            “Jadi isteri saya.” Nurin ternganga.
            “Saya kata nak, baru Dr tau.” Nurin membalas geram. Tareeq masih dengan sisa tawanya.
            “Nak? Jom kita pergi masjid, nikah terus.” Nurin mencebik. Kalau layan ni, boleh sewel di buatnya, Nurin merungut dalam hati. Selepas itu mereka berdua masing-masing terus menyepi dengan kerja masing-masing.

Tareeq membelek jam yang sudah menunjukkan jam 8.30 malam. Nurin masih lagi tekun mengemas biliknya, senyap tidak bersuara walau sepatah pun. Tareeq mengemas kerja-kerjanya yang sudah selesai. Esok dia tiada kelas untuk mengajar, tetapi ada mesyuarat yang perlu dihadiri di pejabatnya. Buat dua kerja dalam satu masa memang memenatkan, tetapi satu kepuasan bagi Tareeq Sufean.
            “Nurin…” Tareeq yang sedang duduk bersahaja, memanggil Nurin yang sedang asyik membelek sebuah buku di tangannya.
            “Ya?” Nurin menjawab panggilan Tareeq, lalu mengalih tubuhnya supaya bertentangan dengan Tareeq yang berada di meja.
            “Awak tak lapar?” Nurin hanya menggeleng perlahan.
            “Bukan ke awak puasa? Dari tadi awak tak makan apa-apa, kurma aje. Kenyang?” Tareeq menyoal lagi, hairan! Dia yang tidak berpuasa pun sudah merasa lapar.
            “Tak kata saya kenyang. Tapi lapar tu tak lah. Saya dah biasa.” Nurin menjawab dengan tidak bernada. Tangannya kembali mengemas buku-buku dan fail yang masih berselerak. Sebentar lagi dia akan pulang ke kolej, jadi dia perlu kemas sebanyak mungkin sebelum pulang, esok tidaklah banyak yang perlu disiapkan lagi.
            “Awak belajar waktu siang, kerja waktu malam. Makan kena jaga, kesihatan tu penting bagi seorang pelajar.” Tareeq memberikan nasihat, lagak seperti seorang pensyarah yang prihatin!
            “Alhamdulillah, masih sihat lagi.” Nurin menjawab lagi. Kalau tidak kerana membayar RM800 tu, tentu sahaja dia tidak perlu menahan lapar sebegini. Nak tak nak, dia terpaksa ikat perut.
            “Jom, saya belanja makan?” Tareeq yang sudah berdiri, mengemaskan beg kerjanya. Tali leher yang sedari tadi ditanggalkan di ambil. Tareeq melangkah menghampiri Nurin yang hanya memandangnya, tanpa bergerak sedikit pun.
            “Jom lah, saya belanja GCB. Malam-malam ni makan McD pun best juga kan.” Tareeq bersuara lagi, apabila Nurin hanya berdiam diri.
            “Takpelah Dr, saya ada discussion pukul 10 nanti. Saya nak balik rehat dan siap untuk discussion pula.” Nurin turut mengemaskan baranganya kerana Tareeq sudah siap mahu pulang. Nurin berdiri bertentang dengan Tareeq Sufean.
            “Tak makan?” Tareeq menyoal penuh prihatin.
            “Balik nanti saya makanlah.”
            “Makan apa?”
            “Apa-apa  aje lah, asal perut tak lapar.” Nurin menjawab, sebolehnya dia tidak mahu keluar bersama Tareeq Sufean. Kadang kala sikap Tareeq membuatkan dia rasa kerdil, dan kata-katanya mengguris perasaan Nurin.
            “Kita drive through aje, jom.” Tareeq mendepa sebelah tangan, gaya mempersila Nurin untuk bergerak pulang bersama-samanya. Nurin mengeluh lemah. Kenapa payah sangat nak menolak bila Tareeq Sufean ni mula bersuara?
            Sampai sahaja di kereta, Nurin mencuba lagi untuk menolak. Dia mereka-reka ayat untuk disuarakan kepada Tareeq Sufean.
            “Dr.Sufean, saya tak bolehlah nak ikut Dr. Biar saya balik kolej sendiri ye, lain kalilah Dr. belanja saya.” Tutur Nurin sopan.
            “La… dah sampai kereta pun. Rezeki jangan ditolak…”
            “Malang juga jangan di cari…” Nurin mencelah. Tareeq mengerut dahinya, menjadikan keningnya tercantum kedua-duanya.
            “Perli?” Tareeq menebak.
            “Tak… saya cuma takut, kalau saya keluar dengan Dr. Sufean, entah apa pula kemalangan yang akan jadi.” Nurin menyindir. Kalau cara lembut menolak tak jadi, guna ajelah cara sindir menyindir ni. Mana tahu, panas telingan Tareeq Sufean untuk mendengarnya, hati Nurin berbisik sendiri.
            Tareeq memeluk tubuhnya. Wajah Nurin ditenungnya tajam. Nurin yang tak betah dipandang begitu terus sahaja menundukkan wajah, pandangnya dilarikan ke tempat lain.
            “Saya minta maaf, sebab sebelum ni saya berkasar dengan awak. Tapi, pandai juga awak ni sindir-sindir orang eh. Tengok dari gaya awak ni macam orang yang senyap, pemalu. I like this side of you.” Tareeq terus sahaja bersuara, langsung tidak berkecil hati apatah lagi panas hati. Nurin ternganga, lain yang dijangka lain pula yang jadi. Tareeq yang sudah pun masuk ke dalam kereta, melangkah separuh badan ke luar kereta.
            “La… Nurin Jannah, dah lewat ni, kejap lagi awak ada discussion kan? Cepatlah, kita pergi makan kejap kemudian saya hantar awak balik.” Tareeq terus sahaja memberikan arahan. Nurin masih lagi berdiri kaku, dia seboleh-bolehnya tidak mahu!
++++++++++
            “Tiba-tiba Ean call mama malam ni?” Tareeq melepas keluhan berat. Ibunya dihujung talian menjadi lebih tertanya-tanya.
            “Why Ean? Ada yang menganggu fikiran?” Lembut sahaja suara ibu, seolah mahu membuatkan hati anaknya tenang dan lapang.
            “Ean rasa, Ean dah buat silap la mama…” Tareeq bersuara lemah.
            “Buat silap? Cuba Ean jelaskan dekat mama sayang…”
            “Mama ingat kes kereta Ean tu?”
            “Yes, sangat ingat. Kenapa? Orang tu tak nak bayar dan dah lari?” Ibunya cuba meneka.
            “No, she already paid. Tapi… mama, dalam akaun dia ada baki tiga ratus aje ma.” Tareeq menyandar tubuhnya ke kepala katil. Matanya dipejam rapat.
            “Mungkin dia ada akaun lain kut… macam mana Ean tahu baki duit dia?”
            “Dia terbagi sekali slip bank, mungkin terselit…” Ibunya ketawa kecil.
            “Dia sengaja nak bagi nampak kesian kut?” Tareeq menarik nafas berat.
            “Entahlah, kemungkinan-kemungkinan tu macam tak sesuai dengan dia. She looks very innocent, solehah. Tak mungkin dia sengaja buat.” Tareeq cuba menjelaskan bagaimana Nurin pada pandangan matanya.
            “Ean suka dia?” Ibunya cuba menelah, sambil ketawa kecil mengiringi.
            “Mama, Ean serius ni…” Rungut Tareeq manja.
            “Mama gurau aje la. Dia ada akaun lain la tu, jangan fikir sangat.” Ibunya kembali serius, tawa yang bersisa sudah hilang semuanya.
            “Ean cuma rasa bersalah. Ean bagi dia dua pilihan, sepatutnya Ean terima pilihan ketiga dia.” Tareeq meraup wajahnya.
            “Pilihan ketiga? Apa pilihan-pilihan ni, mama tak fahamlah”
            “Ean suruh dia pilih antara bayar cash or check, dia cadangkan pilihan ketiga iaitu dia kerja dengan Ean sebagai bayaran kerosakan tu. Ean ingat dia nak mengelak dari bayar tapi dia dah cuba cakap yang dia tak boleh nak bayar sebanyak tu. I should believe that.” Tareeq terus dibelengu rasa bersalahnya.
            “Okay macam ni, Ean bagi balik lapan ratus tu dekat dia. Selesai masalahkan?” Ibunya cuba mencari penyelesaian.
            “Dah cuba bagi balik tapi dia tak nak.”
            “Dah tu? Apa yang merisaukan Ean sangat-sangat ni?” Ibu Tareeq pelik dengan sikap anaknya yang tiba-tiba terlebih prihatin.
            “Dia kerja part-time, buat housekeeping. Dari petang sampai malam, just to earn money. Just because of me, she has to work after class. Jahatkan Ean? I should listen to you mama.” Tareeq melepaskan keluh beratnya. Ibunya dihujung talian hanya tersenyum.
            “Takpe, belajar daripada kesilapan. Ean, jangan terlalu salahkan diri sendiri. Apa yang berlaku atas kehendak Allah. Sebelum tidur nanti, buat solat hajat. Semoga esok Ean akan lebih tenang, kemudian pergi dekat dia dan minta maaf. Takpelah kalau dia taknak duit tu balik, mungkin dia pun dah belajar tentang tanggungjawab.” Ujar Ibunya panjang lebar.
            “Thanks mama… I will.”
            “Erm… teringin mama nak jumpa dia.”
            “Kenapa?”
            “35 years, tak pernah Ean mengadu yang Ean buat silap. Tapi hari ni lain, mama nak jumpa gadis yang dah buat Ean diserang rasa bersalah.” Ibu Tareeq ketawa besar dihujung sana.
            “Mama!” Tareeq tidak sempat membela, ibunya pantas mematikan talian. Tareeq berfikir sendiri, benarkah?
+++++++++
            Nurin merenung jauh ke luar dari tingkap biliknya. Berada di aras tiga membolehkan Nurin melihat kawasan kolejnya dengan lebih jelas. Angin petang itu membuatkan dia terawang lebih jauh mengingati malam selepas Tareeq Sufean menghantarnya pulang ke kolej selepas makan malam secara paksa. 
            “Nah… saya sepatutnya tidak mengambil sebarang ganti rugi daripada awak. Saya nampak apa yang berlaku, tetapi sebabkan terlalu mengikut prinsip saya paksa awak untuk bayar. Sekarang saya kembalikan.” Tareeq menyerahkan sampul putih kepada Nurin. Nurin dibelengu kehairanan. Tangannya mengambil sampul yang dihulurkan Tareeq.
            “Apa ni…” Nurin membuka sampul putih itu, not RM50 beberapa keping terpampang di depan mata.
            “Eh, Dr. Sufean, ini hak Dr. Saya tak boleh nak terima.” Nurin menyerah kembali sampul putih itu kepada Tareeq.
            “No, itu duit awak.”
            “Abah saya kata, bila kita ambil balik apa yang kita bagi, buruk siku jadinya.” Nurin berseloroh, sampul itu disua terus ke tangan Tareeq.
            “Same goes to me. Sekarang saya dah bagi dekat awak, jadi tak boleh ambil balik. Saya pun tak nak siku saya buruk.” Tareeq membalas. Nurin mengeluh perlahan, penat melayan karenah Tareeq.
            “Saya minta maaf kalau saya berkasar. Tapi dah terlambat untuk Dr kembalikan duit ni. Sepatutnya dari awal Dr tak minta atau terima cadangan saya untuk bekerja dengan Dr. Duit ni, kalau Dr tak nak, Dr sedekah dekat masjid.” Nurin meletakkan sampul putih yang mengandungi duit RM800 itu ke atas dashboard kereta Tareeq. Tareeq terkedu dengan tindakan Nurin, namun tangannya tangkas menahan Nurin yang baru membuka pintu untuk keluar.
            “Wait!” Tareeq bersuara tegas.
            “Apa ni Dr. Sufean?” Nurin terkejut dengan tindakan pantas Tareeq, matanya melorot terus ke arah cengkaman tangan Tareeq, mujur sahaja berlapik!
            “Saya dah minta maaf, dah mengaku salah saya, dan bukan ke sekarang awak memang bekerja untuk saya? Jadi duit ini memang untuk awak. Take it or you’ll regret it?!” Tareeq mengugut, Nurin memandangnya dengan pandangan yang tajam. Ini adalah kesekian kalinya Tareeq seolah-olah memandang rendah kepada dirinya.
            “Saya ada hak untuk tidak menerima, dan saya sedar saya adalah pelajar yang bekerja sambilan sebagai house-keeper. Tapi itu bukan sebab yang menjadikan saya objek untuk Dr. Sufean mengarah sesuka hati Dr. Saya masih lagi manusia, perempuan yang ada maruah diri. Saya tahu saya orang susah, dan itu bukannya alasan untuk Dr boleh menggunakan wang sebagai alat untuk menganggu hidup saya. Saya minta maaf.” Nurin merentap pergelangan tangannya, lalu terus melangkah keluar daripada kereta itu. Tanpa menoleh kebelakangan dia terus melangkah laju ke biliknya.
            Nurin menghela nafasnya. Angin kuat yang tiba-tiba menampar mukanya menyedarkan dia daripada lamunan panjang.
            “Fikir apa lagi? Tak kerja hari ni?” Azra yang baru pulang daripada keluar ber’dating’ menegur Nurin yang sedari dia mula melangkah masuk, dia melihat merenung jauh ke luar bilik.
            “Aku minta cuti hari ni. Takut…” Azra ketawa dengan apa yang dilontarkan Nurin.
            “Tau pun takut, yang kau emotional sangat kenapa?” Nurin mengalih tubuhnya, lalu dia menyandar di dinding.
            “Geram la, sebab dia aku serabut beberapa minggu ni. Aku puasa tiap-tiap hari sebab nak jimat duit. Sebab dia juga Acik Emah asyik call aku tanya kenapa aku draw banyak sangat. Jenuh tau nak jawab.” Azra mendekati Nurin, dia turut menyandarkan batang tubuhnya.
            “Duit kau kan, kenapa Acik kau nak sibuk-sibuk? Yang kau pun, kenapa tak ambil aje duit tu?” Nurin kembali memandang ke luar tingkap.
            “Kau tak kenal Acik Emah, payah nak terangkan. Aku takkan ambil balik duit tu, duit tu bagi aku nightmare. Setiap hari aku kena buat kira-kira. Sampai aku nak makan apa pun aku takut, takut kalau esok aku tak cukup duit. Kau tau kan, projek semester ni banyak. Duit pun banyak nak guna, aku memang tak boleh tengok duit tu. Hati aku tersiat aje rasanya.” Azra menepuk perlahan bahu Nurin, dia sedar Nurin menanggung banyak beban kerana RM800 itu.
            “Aku kan ada, kau selalu macam ni. Aku dah pesankan, ada apa-apa bagitau aje aku.” Azra bersuara. Nurin hanya tersenyum hambar. Hati Nurin berbisik sendiri, “kalau tak Megat warning aku, mungkin aku letak malu aku ke tepi dan minta tolong dari kau Azra.” Nurin akan ingat hari itu sampai bila-bila, hanya kerana tidak berkemampuan, maruahnya juga bagai diinjak-injak orang lain, kenapa?
            “Takpe Ra, selagi aku boleh usaha sendiri aku usaha sendiri. Terima kasih sebab sentiasa ada untuk aku.” Azra mengenggam tangan Nurin erat. Nurin hanya tersenyum tawar. Sedikit sebanyak, Megat merenggangkan keakraban mereka.
+++++++++++++
abc akan post next part esok tengah hari ye.
insyaAllah, lagi dua part aje.
teruskan memberi komen :)

FOLLOW ABC DI WATTPAD, KARYANURWATEEQA

  FOLLOW TAU! ada 2 cerita baru di wattpad. 1 cerita on the way.  jumpa di sana ~~~ #muchlovereaders