Monday, May 7, 2018

Mini Novel 2018: Bukan Kerna Terpaksa BKT P2

PART 2
            “Apalah kamu berdua buat ni? Bela perempuan tak elok dekat kampung. Habis anak-anak dara kampung ni nanti jadi macam dia!” Marah sungguh wanita tua itu dengan kehadiran Nusaybah yang sudah hampir masuk 3 bulan di kampung itu.

            “Jadi apa kak Nah oi? Elok tak elok, di mata Allah tu semua sama. Yang penting amalan dan ibadah kita.” Abang Ismail yang sibuk mengira di kaunter pembayaran bersuara bersahaja. Kak Nah terus sahaja menghampiri Nusaybah yang berdiri tidak jauh darinya.

            “Ni perempuan ni, ramai orang kampung tak suka kau bawak perempuan ni tinggal dekat kampung ni. Anak takda bapa!” Kepala Nusaybah ditunjalnya beberapa kali. Nusaybah hanya berdiri kaku dan menekur lantai.

            “Kak Nah!” Jerkah Abang Ismail setelah melihat Nusaybah diperlakukan begitu.

            “Perempuan macam ni, kalau bunuh pun tak dosa!” Marah benar Kak Nah dengan Nusaybah yang langsung tidak mengenalinya.

            “Mana akak belajar? Cakap biar dengan ilmu dan iman. Islam tak sekejam tu!” Kak Fatimah yang baru sahaja tiba di kedai mula bersuara tegas. Geram benar mendengar kata-kata Kak Nah yang langsung tak masuk akal.

            “Bela, bela la perempuan macam ni. Dia ni bukan Mariam!” Suara kak Nah lantang, dan terus melangkah pergi. Nusaybah membetulkan kembali tudungnya. Air mata masih bertahan di dalam kelopak matanya. Kak Fatimah menghampiri Nusaybah.

            “Sabar dik. Manusia memang mulutnya mengalahkan Tuhan.” Pujuk Kak Fatimah, Nusaybah sekadar tersenyum.

            “Apa yang dia cakap ada betulnya, saya tak sesuci Mariam. Saya memang mengandung anak yang bapanya langsung saya tak kenal.” Suara Nusaybah, membuka pekung yang di simpannya.

            “Maksud adik?” Soal Fatimah. Nusaybah memandang tepat ke wajah Fatimah, mencari kekuatan.

            “Sudah, balik rumah nanti kita bincang.” Abang Ismail memotong sebaik sahaja Nusaybah cuba membuka mulut. Fatimah mengangguk perlahan, memahami maksud suaminya. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Manusia, telinganya lebih laju dari kelajuan cahaya, sehebat mulutnya menyampai cerita.

            “Semua berlaku tanpa saya sedar, luar kawalan akal waras saya. Saya sedar semua sudah berlaku. Saya tak tahu siapa, saya tak tahu macam mana.” Nusaybah membuka cerita malam itu, setelah selesai mereka bertiga menjamu makan malam. Abang Ismail mengangguk perlahan sementara Kak Fatimah menggenggam erat tangan Nusaybah. Langsung tidak dilepaskannya.

            “Nusaybah langsung tak nampak siapa?” Abang Ismail menyoal. Nusaybah terdiam beberapa saat.

            “Samar-samar.” Ujar Nusaybah.

            “Boleh cam muka dia?” Soal Abang Ismail lagi namun hanya mengangguk perlahan setelah menerima gelengan daripada Nusaybah.

            “Sudahlah, anggap sahaja ini Ujian. Ujian yang paling besar dari Allah. Allah menguji kerana cinta kepada kita. Abang dengan Kak Fatimah pun redha bila doktor kata kami berdua mungkin langsung tak boleh ada anak. Kami anggap ini ujian cinta antara kami dan cinta kami dengan Allah. Abang harap Nusaybah kuatkan diri, sayangkan anak dalam rahim tu. Anak itu suci, sucinya seperti kain putih. Apa yang berlaku pada masa akan datang, kita serah kepada Allah, yang penting sekarang ni kita usaha yang terbaik untuk anak ni.” Abang Ismail menasihati Nusaybah. Fatimah yang setuju dengan kata-kata suaminya itu, mengangguk laju.

            “Kerana anak ini, saya kuat abang Ismail, kak Fatimah. InshaAllah. Saya akan terus kuat untuk masa depan dia.” Ujar Nusaybah membuah senyuman di bibir Ismail dan Fatimah.

            “Eloklah tu, akak dan abang Ismail balik rumah dulu. Dah dekat maghrib. Nusaybah nak jemaah malam ni dekat masjid? Kalau nak kejap lagi abang dan akak datang ambil.” Fatimah mula bersiap mahu pulang ke rumah. Nusaybah berfikir beberapa saat.

            “Takpelah, malam ni saya nak kemas rumah ni lagi. Mungkin esok-esok saya ikut sekali, lagi pun rumah tak jauh dengan masjid kak, saya boleh jalan kaki.” Ujar Nusaybah menolak dengan baik. Bukan tidak mahu, cuma rumah yang baru di diaminya semalam, masih perlu dikemaskan segera untuk keselesaannya sendiri.

            “Kalau macam tu akak balik dulu. Jaga diri, kunci pintu.” Nasihat Fatimah. Nusaybah mengangguk faham.

            Sebaik sahaja Fatimah dan Ismail pulang, Nusaybah segera menutup dan mengunci pintu dan tingkap rumah. Walaupun rumah itu tidak jauh dari rumah orang kampung yang lain, namun Nusaybah sedar yang kehadirannya ke kampung itu tidak diterima baik oleh orang-orang kampung.

            Hentakan berkali-kali di pintu membuatkan Nusaybah tergesa-gesa menyudahkan bacaan Qurannya. Hentakan bertalu-talu bagai mahu roboh pintu yang sudah uzur itu.

            “Sabar, sabar, saya datang.” Ujar Nusaybah sedikit menjerit memandangkan yang menghentak pintu itu seakan tidak mahu berhenti. Kunci dibuka selaju yang boleh. Suara-suara ramai di luar meresahkan hati Nusaybah. Sebaik sahaja dibuka, tidak sempat berkata apa-apa, tangannya terus ditarik sehingga dia jatuh tersungkur ke tanah.

            “Hey perempuan! Lebih baik sekarang kau pergi dari kampung ni. Membusukkan nama kampung kami je!” Suara itu nyaring di telinga Nusaybah. Kepalanya ditolak-tolak. Tubuhnya dihentak. Tidak mampu berbuat apa, apatah berkata apa-apa. Nusaybah hanya berusaha melindungi kandungannya.

            “Nanti sebab kau, habis semua anak-anak dara kampung ni rosak sebab bala kau bawa dalam perut kau tu!” Suara lain menambah. Berselang-seli mereka menyumpah seranah dan memaki hamun Nusaybah. Nusaybah menahan, menahan segala-galanya. Makian dan sumpahan ini kecil, kecil berbanding apa yang telah dirasai dari ibu yang melahirkan. Nusaybah mengesat air mata yang mengalir. Dia cuba untuk bangun. Namun malang, mereka lebih tekad membunuh anaknya. Perutnya di sepak terajang.

            “Ya Allah! Gila ke korang semua ni!” Tempikkan itu bergema, meredakan sepakan bertalu-talu. Kesakitan itu hanya Allah yang tahu. Bagai nyawa sudah dihujung nafasnya.

            “Kau orang luar, kau jangan sibuk!”

            “Ya, memang aku orang luar. Tapi aku manusia, kau orang manusia dan dia ni pun manusia! Dia mengandung, kau orang buta ke?!” Suara yang bertempik tadi, masih cuba meredakan hati manusia yang panas dibakar penggoda manusia.

            “Eleh macam kau baik sangat. Sebab orang-orang luar macam kau orang ni la yang akan rosakkan kampung kami!” Bidas mereka.

            “MashaAllah, Nusaybah!” Suara Kak Fatimah mula kedengaran. Nusaybah yang terbaring di tanah cuba membuka mata yang sedari tadi dipejam. Kesakitan itu mula menjalar ke serata tubuhnya.

            “Selamatkan anak saya kak. Tolong kak....” Rintih Nusaybah dalam payah dan sakit yang ditanggungnya.

            “Kamu semua tak berhati perut! Kalau mati anak dia, kamu semua pembunuh!” Pekik Fatimah sekuat hati. Diam, semua yang berada di situ terdiam. Melihat tubuh Nusaybah yang kaku dalam pangkuan Fatimah.


+++++

komen ya readers! 

3 comments:

Yasmin Syamimi said...

Ya Allah...kesian Nusaybah...

Anonymous said...

Sakitnya hati hingga tak terkata...boleh hijau jadinya.
Mengaku diri Islam tapi tindakan jauh tersasar mengikut hati dan nafsu.

Kak min

Yasmin Syamimi said...

Selamat hari guru abc