Thursday, January 31, 2013

Februari 2013

Assalamualaikum!
Alhamdulillah,melepasi minggu yang sangat sibuk.
bangun awal dan tidur awal, letih seharian memandu ulang alik.

esok sudah masuk bulan baru 2013.
sungguh cepat Januari berlalu Februari datang menjelang!
abc pun kena cepat menyiapkan manuskrip2 yang sedang abc usahakan.
kita hanya merancang, Allah juga menentukan :)


bulan cinta sudah menjelma (eceh!)
abc harap sangat, abc berubah menjadi yang lebih baik
menjauhi yang mungkar, dan di murkai Allah
dan dapat menulis dengan lebih baik.
apa yang penting, abc nak sangat dapat urus masa abc dengan sebaik2nya!
Ameen.

Jumaat Sabtu abc akan pos mini novel dan cerpen, insyaAllah.
minggu pertama februari abc nak menyepi diri, nak siapkan manuskrip.
raya cina abc ke kelantan, bercuti bersama anak-anak yang sangat dirindui!
mungkin dapat menulis, mungkin juga tak. yelah sedang bercuti kan3 ^^
selepas balik dari kelantan, abc akan teruskan menulis dan pos seperti dijadualkan.
 
mungkin juga akan agak perlahan, sebab abc kena bersedia untuk temuduga.
bakal menjadi guru dalam tahun ini, insyaAllah :)
teringin juga karya dicetakkan dalam tahun ini. ameen!
 
kepada yang menyukai dan mengikuti karya2 abc, abc harapkan doa kalian untuk abc.
kehidupan abc dan apa yang abc lakukan sekarang dan di masa depan.
abc akan cuba terbaik untuk menghiburkan anda semua melalui penulisan abc.
semua yang baik dari Allah, yang buruk dari salah abc sendiri.
 
much love readers!

Monday, January 28, 2013

Sekadar Picisan?

Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah, lama benar abc tak menuliskan?
bercuti dihujung minggu hehehe
kekangan masa buat abc tak dapat nak siarkan cerpen abc minggu lepas.
maaf ye! :)

Janji Terpateri 10 sudah abc pos, dan harap maklum setakat itu sahaja bab di blog.
insyaAllah, abc sedang cuba nak habiskan novel tu. doakan abc ye ^^

Picisan?

abc sendiri kurang faham erti sebenar picisan, kalau sekali dengar dan faham macam tak berguna, sia-sia dan mungkin tidak memberikan makna.

Picisan ni hal berkaitan dengan novel. akibat banyak sangat drama yang diadaptasi daripada novel, timbul isu novel picisan ni. Boleh baca dekat SINI

Akibat kurang arif dalam ilmu bahasa, abc pun mencari makna picisan, adalah beberapa makna yang abc dapat.

1. Picisan bermakna tidak berharga atau rendah mutunya. Contoh, majalah picisan bermaksud majalah yang rendah mutunya dari segi isi ( kepentingan) dan bahan yang dimuatkan. (PRPM)

2. Picisan bermaksud sesuatu yang rendah mutunya.(tutor.com)

Adakah karya-karya abc sekadar karya picisan? oh! sedihnya. abc tegas katakan, TIDAK! ada sesuatu yang abc cuba sampaikan. ya, mungkin ayat/perkataan abc guna ayat biasa, pasar atau yang digunakan seharian, namun isinya jelas dan mungkin sampai kepada pembaca (dari komen yang abc terima). 

abc memang tidak menggunakan ayat-ayat sastera dan berbunga, ada juga abc tersalah tatabahasa atau susunan struktur ayat yang salah. abc masih belajar dan akan terus belajar. ayat sastera? abc perlu ke kelas dan banyak membaca. Tapi takkan kerana 'tidak formal' karya abc dalam blog ini juga dikategorikan sebagai picisan. oh! sedih!

isu novel/karya picisan ini boleh kita kategori sebagai suatu isu yang lapuk dan akan terus kedengaran dari masa ke semasa. Tak percaya? boleh klik link di bawah ni.

2008 dan 2010

Mungkin ada yang sekadar mencari nama dalam penulisan, mungkin juga yang mahu mengembangkan bakat yang terpendam dan mungkin juga ada yang mahu menggunakan masanya yang banyak dengan sesuatu yang lebih baik (abc la tu ngeh3). Menulis adalah satu hobi bagi abc. Hobi yang dilakukan pada waktu-waktu lapang dan waktu untuk menenangkan fikiran. :)

Bagi abc tak ada karya yang boleh kita kategorikan sebagai picisan. Hasil usaha seseorang perlu dihargai dan dihormati. Biarlah apa jua yang ditulis atau dikaryakan, itu hasil usahanya dari kotak fikiran dan dirinya. Siapa kita untuk melabel/mengkategorikan?

Ini hanya pandangan abc, ya sedikit terguris dan 'down' bila baca berita tu. abc sedang cuba mencari jalan untuk kongsi kehidupan dengan orang lain. Dalam hiburan kita isi dengan pengajaran. Mungkin hanya 10% yang tersampai, tapi lebih baik dari tidak menyampaikan apa-apa. :)

Salam Kasih Sayang buat semua;
nurwateeqa_abc

Friday, January 25, 2013

Novel : Janji Terpateri 10

Bab 10
Aku menghampiri Irham Syakir yang sudah berada di kereta. Irham sedang membetulkan tempat duduk sebelah pemandu itu yang akan aku duduki semula sebentar lagi. Irham menyambut kehadiran aku dengan senyuman. Namun aku sebaliknya. 

            “Awak cuba duduk, kalau tak okay saya betulkan lagi.” Irham memberi laluan kepadaku supaya dapat masuk ke dalam kereta. Aku memandangnya ke arahnya dengan tubir mata yang sudah dipenuhi air, tinggal beberapa ketika sahaja air itu akan melimpah. Irham memandangku dengan riak penuh tanda tanya.

            “Kenapa Mus? Awak okay tak?” Irham menyoal kemudiannya apabila aku terus memandang wajahnya tanpa bersuara. Aku terus sahaja menggeleng laju.

            “Kenapa ni?” Irham semakin gusar. Aku cuba membuka suara, namun air mata lebih laju mengalir.

            “Awak....” Aku cuba bersuara dalam getar yang aku rasa kini. Hati aku resah hingga menyukarkan aku untuk bernafas ketika ini.

            “Mus, tarik nafas dalam-dalam dan bagitahu saya, kenapa dengan awak?” Irham cuba menenangkan aku yang sudah menangis, tanpa dia ketahui sebabnya.

            “Ada darah.” Irham terkejut besar dengan jawapan yang keluar dari mulutku. Namun Irham masih cuba untuk mengawal keadaan.

            “Darah? Banyak tak?” Irham menyoal, aku mengangguk perlahan. 

            “Saya takut, baby saya awak...” Aku terus meluahkan resah yang membelengu diriku ketika itu. Perut aku pegang seeratnya, lagak seperti mahu melindungi ia daripada sesuatu.

            “Jangan menangis. Semuanya akan selamat, sekarang awak masuk dalam kereta, saya bawa awak terus ke hospital yang dekat. Everything will be fine. Awak zikir banyak-banyak.” Irham kemudian terus memecut laju ke hospital yang berhampiran dengan susur keluar terdekat, Behrang. Aku tidak tahu mahu melakukan apa ketika itu, apa yang disuruh Irham itulah yang aku lakukan. Aku mengusap perlahan perutku, hatiku terus berdoa supaya segala-galanya berada dalam keadaan selamat. 

            Lebih kurang 20 minit kemudian kami tiba di Hospital Slim River. Laju sahaja Irham keluar dari kereta yang diberhentikan di bahagian kecemasan, mencari bantuan segera daripada pihak hospital. 

            “Alhamdulillah, mujur encik cepat ke sini. Pendarahan pada kandungan isteri encik yang sudah mencecah 7 bulan sangat bahaya. Bahayakan ibu dan juga kandungannya. Kami terpaksa menahan isteri encik buat sementara untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut, jangan risau kalau keadaan isteri encik sudah stabil, dia akan dibenarkan keluar lebih awal.” Doktor yang merawat kemudian keluar menemui Irham Syakir setelah 20 minit merawat dan memeriksaku. Irham menghela nafas lega, barulah dia mampu untuk bernafas seperti biasa. 

            Selepas berbincang dengan doktor tersebut, Irham Syakir kemudian terus melangkah ke wad yang aku duduki. Dari jauh aku sudah terlihatkan dia melangkah mendekati dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.

            “Macam mana rasa sekarang? Dah okay?” Irham bersuara sebaik sahaja menghampiri katilku.

            “Alhamdulillah, lepas doktor kata semua okay. Baby sihat dan tiada masalah, saya pun okaylah.” Aku menjawab, membalas senyumannya itu.

            “Alhamdulillah. Lapar tak?” Irham kemudian menyoal. Aku menggeleng perlahan.

            “Pukul berapa sekarang?” Soalku, jatuh kasihan kepada dia yang bersusah payah kerana aku. Kenapalah dia begitu tekad sekali mengejar janji yang pastinya aku takkan tunaikan, kenapa?

            “Dah dekat 1.30 pagi. Kenapa?” Ujar Irham setelah mengerling sekilas jam tangannya. Aku mengangguk perlahan.

            “Awak mesti letihkan. Pergilah rehat, mungkin ada hotel yang dekat dengan hospital ni.” Aku memberikan cadangan, laju sahaja dia menggeleng.

            “Takkan nak biar awak seorang diri dekat sini? Dah la bukan tempat awak.” Irham menolak cadangan aku itu. 

            “Habis tu nak tidur atas kerusi tu sepanjang malam?” Ujarku sedikit sebal.

            “Boleh aje.” Laju sahaja dia menarik kerusi yang aku tunjukkan sebentar tadi mendekati katil tempat pembaringanku dan terus sahaja melabuh duduk. Kalau orang lain melihat kami berdua ketika itu, tentu sahaja mereka akan katakan kami adalah pasangan suami isteri. Doktor yang merawat pun sudah menyangkakan yang sama. Iyalah, takkan seorang perempuan mengandung akan keluar dengan lelaki yang bukan suaminya? Betulkan?

            “Doktor tu kata awak suami saya, maaf ye.” Rasa bersalah menyelubungi, takut juga Irham tidak selesa dengan salah faham itu.

            “Tak perlu minta maaf, saya suka begitu.” Irham tersenyum melebar, membuatkan aku kehairanan.

            “Suka?” Soalku.

            “Ye. Suka.”

            “Kenapa pula suka?”

            “Setiap yang kita cakapkan, adalah satu doa. Jadi, bila semua orang yang nampak kita berdua macam ni akan kata kita suami isteri. Mereka mendoakan saya betul-betul jadi suami awak.” Irham kemudian tersenyum kian melebar, wajahnya penuh ceria. Aku? Sudah mengerut kening dengan penyataannya itu.

            “Tolonglah, perasan pula. Itu takkan pernah terjadi.” Aku membantah penyataannya. Irham mencebik dan menjungkit bahu, masih mahu menang.

            “Siapa boleh lawan kuasa tuhan? Kalau Dia kata jodoh kita ni ada, awak nak ke tidak, awak tetap akan jadi isteri saya.” Ujarnya lagi, sengaja membuatkan aku terdiam sendiri.

            “Kalau Dia kata tak, jadi takkan ada jodoh antara kita.” Aku membalas.

            “Usaha itu yang penting. Saya akan usaha sampailah satu saat Dia kata memang kita tiada jodoh, masa tu baru saya akan berundur.” Irham bersuara lagi, penuh yakin. Aku mencebik bibir dan terus mendiamkan diri. Penat untuk berlawan kata dengan lelaki yang banyak alasan dalam kepala. 

            “Dalam 3 jam lagi doktor akan datang buat pemeriksaan lanjut. Jadi, awak rehat dulu nanti apa-apa saya akan bagitahu.” Irham membantu aku membetulkan bantal yang menjadi lapik kepala. Setelah selesa, dia kemudian menarik selimut supaya membaluti tubuhku. 

            “Jangan baik sangat dengan saya, nanti kecewa.” Aku memberi pesan, layanan Irham terlalu baik untuk aku terima.

            “Tak apa, saya tengah berusaha. Apa pun hasil usaha saya ni, saya terima.” Irham kemudian mengenyit sebelah matanya dengan senyuman yang masih tidak lekang. Aku mencebik bibir, selimut aku tarik hingga ke bawah dagu. Tubuh yang letih membuatkan aku mudah sahaja terlena. 

            Jam 4.30 pagi seorang doktor menghampiri katilku. Irham yang terlelap, bingkas sahaja bangun dalam mamai tidurnya. Mukanya diraup dalam kalut. Doktor Indah sekadar tersenyum memandang telingkah Irham ketika itu.

            “Dia ada mengadu sakit apa-apa?” Doktor Indah kemudian menyoal Irham yang sudah agak sedar dari lenanya. Irham memandang ke arah aku yang baru sahaja terjaga dari lena, pandangan ketika itu masih lagi kabur.

            “Takde pula.” Jawab Irham kemudian memberi lalu kepada Doktor Indah untuk memeriksa keadaanku.

            “Assalamualaikum Puan, saya datang nak periksa keadaan puan.” Doktor Indah kemudian menegurku dan memeriksa nadiku.

            “Puan ada rasa tak selesa atau sakit di mana-mana?” Doktor Indah menyoal. Aku cuba bangun dan bersandar di kepala katil. Irham membantu membetulkan bantal. 

            “Ada rasa tak selesa dari bahagian pinggang ke bawah.” Aku memberitahu ketidakselesaan yang aku rasa sepanjang malam ini. Doktor Indah yang sedang mencatat sesuatu di dalam kertas laporannya kemudian terus memakai teleskop ke telinga. Papan berisi kertas laporan itu di letakkan di meja katil. 

            “Doktor nak periksa dekat sini ke?” Aku cepat menahan sebaik sahaja Doktor Indah mahu menyingkap bajuku dibahagian perut. Irham masih berdiri di situ, takkan aku mahu membuat free show kepadanya? Doktor Indah mula memandang aku dan Irham berselang seli, kemudian dia tersenyum sendiri.

            “Okay, kalau macam tu nanti saya akan suruh nurse bawakan kerusi roda untuk Puan. Nurse akan bawa puan ke bilik saya. Saya akan buat scanning sekali di sana. Okay, jumpa kejap lagi.” Doktor Indah yang mungkin sedikit hairan dengan sikap malu-malu aku di hadapan ‘suami’ku sendiri. Irham Syakir sekadar tersenyum dan menjungkit bahu. 

            “Kenapa pandang macam tu?” Aku menyoal setelah Doktor Indah berlalu pergi, tudung di kepala aku betulkan kedudukannya.

            “Cantik. Betullah orang kata, ibu hamil ni berseri.” Irham memuji.

            “Macam-macam. Saya tak makan pujian Encik Irham.” Aku cuba mengelak pujian kosong lelaki itu. Selimut yang membaluti tubuh aku tolak hingga ke hujung kaki. Tanpa perlu memberi arahan, Irham laju sahaja bangun dan mengambil selimut itu dan terus dilipatnya. Sandalku juga turut diletakkan di tepi katil bagi memudahkan aku memakainya sebentar lagi. 

            10 minit kemudian seorang jururawat datang bersama-sama kerusi roda untuk aku. Mungkin kerana dia menyangkakan aku dan Irham suami isteri, dia hanya membiarkan Irham yang membantu aku untuk duduk di kerusi roda dan menolak kerusi roda itu ke bilik Doktor Indah. Puas juga aku menolak, aku masih boleh bangun dan berdiri, tidak memerlukan bantuan dia. Irham tetap berdegil dan tetap memaut bahuku walau sudah banyak kali aku tepis.

            “Berlakon ajelah suami isteri, nurse dah tengok pelik dah.” Irham bersuara separuh berbisik. Aku menjelingnya tajam.

            “Kita bukan suami isteri, salah tahu tak apa awak buat ni. Pegang sana sini, ingat saya ni apa?” Aku membentak marah, masih dalam nada berbisik.

            “Ya saya tahu, tapi berlapik apa?” Irham masih mahu menang.

            “Lapik tak lapik, tetap salah. Saya masih bukan mahram awak.” Aku membetulkan apa yang salah. Irham mengeluh perlahan.

            “Okay, saya salah. Saya tahu semua tu, tapi hati saya risau tengok awak.” Irham bersuara lagi.

            “Risau ke tak risau ke, jangan buat macam ni. Salah tetap salah, matlamat, niat tak menghalalkan cara.” Aku berpesan, lebih kepada memberi nasihat dan teguran bukan marah.

            “Okay Mustika. Lepas awak deliver, kita terus kahwin ye.” Irham berani sahaja berkata yang demikian. Aku mengalih memandang dia yang sedang menyorongku dengan kerusi roda itu.

            “Sudahlah, jangan nak mengarut.” Jawabku, rimas tiap kali hal kahwin diutarakan Irham Syakir. Aku mahu selamanya menjadi isteri Mohd Amzar, hanya Amzar.

            “Tak mengarut, saya nak menghalalkan yang haram. Salah? Lagipun saya nak bertanggungjawab.” Irham seperti biasa pandai bermain dengan kata-kata.

            “Bertanggungjawab?”

            “Yelah, dah pegang-pegang awak tadi.” 

            “Sejak bila awak pandai bertanggungjawab?” Aku sekadar membidas kata-katanya. Irham memberhentikan langkahnya.

            “Maksud awak?” Irham menyoal, nada suaranya berubah.

            “Lupa? 8 tahun dulu, kenapa awak tak mengaku, kenapa waktu tu awak langsung tak nak bertanggungjawab? Rasanya sampai habis belajar saya tak dengar awak bertanggungjawab tentang apa yang berlaku malam tu.” Aku mula membangkitkan isu lama, isu yang menjadi titik kepada pergaduhan kami berdua. Irham kembali menyorong kerusi roda itu sehingga tiba di hadapan beberapa buah bilik Doktor.

            “Kata dah lupa hal 8 tahun dulu? Nampak sangat awak masih ambil tahu hal saya walaupun dah habis belajar dekat matrik dulu.” Irham seperti membalas buah keras.

            “Kan saya kata tak semua saya lupa. Bukan ambil tahu, cuma mahu tahu sama ada Irham yang saya kenal akan bertanggungjawab atau tidak. Memang betul kata hati saya waktu itu, awak memang sama seperti budak-budak lelaki yang lain. Cinta hanya macam hobi dan koleksi, habis belajar putuslah.” Aku kembali membalas, tajam dan sinis. Namun Irham menerima dengan senyuman. Kerusi roda yang aku duduki itu dipusing supaya menghadap ke arahnya.

            “Dengar sini Nur Mustika, saya bukan sengaja tak mahu bertanggungjawab tetapi hanya saya yang tahu kebenarannya waktu tu. Untuk apa saya bertanggungjawab dengan hal yang bukan salah saya? Sini, hati saya hanya untuk awak. Sejak dahulu, kini dan mungkin selama-lamanya.” Irham bersuara, kali ini lebih panjang dan lebih tegas namun masih dengan senyuman.

            “Awak masuk dulu, saya tunggu dekat luar ni. Semoga semuanya baik-baik sahaja ye.” Irham kemudian menyorong kerusi roda itu ke bilik Doktor Indah. Jururawat yang mengiringi kemudian mengambil alih tugas Irham dengan menyorong aku terus ke dalam bilik Doktor Indah. Irham kemudian melangkah ke arah deretan bangku di luar bilik doktor.

            Sepanjang diperiksa oleh Doktor Indah, fikiran aku melayang terus kepada kejadian malam 8tahun lalu. Kejadian yang membuatkan aku memutuskan persahabatanku dengan Misha, kemudian menanam benci kepada Irham Syakir. Mana mungkin aku lupa waktu itu, pertama kali air mataku tumpah untuk seorang lelaki. Kekecewaan yang belum pernah aku rasai sebelumnya.

            “Saya benci awak seumur hidup saya. Saya benci awak Irham Syakir!” Masih terngiang-ngiang kata-kata terakhirku kepada Irham Syakir. Mata aku pejam seeratnya, mahu membiarkan kenangan itu pergi dan menghilang. 

            “Sakit ke Puan?” Suara Doktor Indah mengembalikan aku kepada dunia sebenar. Lantas aku menggeleng laju kepalaku. Doktor Indah kembali memeriksa keadaanku.

            “Puan baru 7 bulan kan?” Doktor Indah menyoal, aku terperanjat dengan penyataan itu. Takkan bayi sudah mahu keluar?

            “Baru cukup 7 bulan.” Ujarku. Doktor Indah memeriksa perutku beberapa kali.

            “Degup jantung bayi agak lemah. Saya akan buat scanning ye.” Doktor Indah kemudian memberikan beberapa arahan kepada jururawat yang membantunya.

            “Puan jangan risau, everything will be fine.” Doktor Indah memujukku yang mungkin sudah beriak resah dan risau. Bayi ini terlalu bermakna buat aku, hadiah terakhir Amzar kepadaku. Hadiah yang terlalu berharga.

            “Puan ada masalah dengan suami?” Setelah pemeriksaan selesai, Doktor Indah kembali menyoal. 

            “Tak. Kenapa doktor?” Bagaimana mahu ada masalah jika aku sudah tidak punya suami?

            “Pendarahan pada kandungan berusia 7 bulan mungkin disebabkan beberapa perkara yang melibatkan kandungan dan keadaan rahim. Tapi selepas beberapa pemeriksaan, sejak awal dan sebentar tadi, saya membuat kesimpulan awal yang puan hanya mengalami tekanan sehingga menyebabkan tubuh Puan menjadi lemah. Tekanan boleh menjejaskan kandungan, ia mungkin punca kepada pendarahan yang berlaku. Saya akan lakukan pemeriksaan lanjut ke atas Puan. Sekarang Puan jangan terlalu risau dan saya mahu Puan berehat sepenuhnya. Boleh?” Doktor Indah menjelaskan panjang lebar dan turut memberikan nasihatnya. Beberapa minit selepas selesai pemeriksaan aku dibawa kembali ke katil oleh jururawat yang sama membawa aku ke bilik Doktor Indah. Irham Syakir sudah tiada di bangku dan juga di wad yang aku duduki. Aku mula tertanya-tanya dan tercari-cari dirinya, namun panggilan alam yang tiba-tiba datang membuatkan aku terus terlupa untuk mencari atau menghubunginya. Aku terus sahaja bangun dan mula berjalan ke bilik air, sendirian. 

            “Doktor Indah, Puan Mustika jatuh di bilik air!” 

++++++++++
last episode dalam blog :)
doakan abc ye.
jangan lupa komen untuk novel ni! ^^
jasa anda abc kenang <3 span="">

sori sebab tak pos cerpen terbaru.
Salam Maulidur Rasul!
much love readers

Wednesday, January 23, 2013

Novel : Janji Terpateri 9

Bab 9
Aku berdiri tegak, memeluk erat beg tanganku. Wajah angah dan kak Idah berselang seli aku pandang dengan mata yang kabur dek air mata. Sungguh aku tidak percaya angah sanggup berbuat begini kepadaku.

“Apa salah Mus?” Aku bersuara dengan getar tangisanku, namun masih jelas ketegasan dalam suara. Angah memandang tanpa riak bersalah, wajahnya tampak tegas dan bersahaja. Kak Idah sebaliknya, mungkin rasa bersalah bertandang dalam dirinya.

“Angah suruh Mus pilih antara dua. Tapi Mus pilih yang angah tak bagi pilih. Pilih angah atau Irham, bukan bas.” Angah menjawab tegas. Aku mengetap bibir, mata merenung tajam dengan air mata yang berlinang di pipi.

“Kenapa? Mus boleh balik sendiri dengan bas. Tiket pun dah beli, Mus tak nak angah atau Irham yang hantar Mus. Mus boleh balik sendiri!” Aku mula membentak, membantah cadangan angah yang mengundang amarahku malam ini.

“Angah dah buat keputusan, angah dah tanya mak dan mak pun setuju. Mus balik dengan Irham. Dia akan hantar Mus sampai depan rumah.” Angah bersuara lagi, kedengaran lebih tegas dan garang. Aku terus bermain dengan air mata.

“Apa salah Mus? Kenapa semua nak hukum Mus? Mus tak nak! Mus tak setuju!” Aku sudah tidak mampu lagi dengan segala yang terjadi. Beberapa hari di Kuala Lumpur membuatkan aku berasa sesak dan terhimpit. Kenapalah Irham Syakir mesti kembali? Beg-beg yang ada aku angkat dengan segala tenaga yang bersisa. Aku tekad, aku akan pulang ke Kedah dengan sendiri. Tidak perlu simpati atau belas sesiapa!

“Mustika!” Pekik angah setelah aku melangkah keluar dari rumahnya. Kak Idah juga tidak berjaya menahan. Jika aku masih di situ, pasti aku terpaksa menurut seperti kata angah. Aku tidak sanggup lagi untuk berdepan dengan lelaki bernama Irham Syakir, malah mendengar namanya sahaja membuatkan hatiku merasa begitu sakit dan perit!

“Nak ke mana?” Irham yang baru sahaja tiba di hadapan rumah, laju sahaja keluar dari keretanya setelah melihat aku mengheret beg pakaianku. Aku langsung tidak mengendahkannya. Laju sahaja aku melangkah membawa diri. 

“Just tell me, where are you going?” Irham yang sudah merentam kasar tanganku, kini menyoal dengan begitu tegas dan garang sekali. Matanya seolah-olah berapi memandangku. 

“Kalau awak tak datang rumah saya, tak datang menagih janji bodoh tu. Semua ni takkan terjadi!” Mendengar suaranya yang mula mahu memarahi aku, aku bertindak lebih awal dengan meluahkan semua rasa hatiku. Sakit, pedih dan perit, semuanya aku lepaskan kepada lelaki yang masih erat memegang lenganku.

“Apa pun awak nak buat, maki saya sekali pun. Boleh tak awak fikirkan bayi dalam kandungan awak tu? Menangis macam orang gila, nak lari entah ke mana, kalau jadi apa-apa dekat bayi tu awak juga yang akan menyesal!” Irham bersuara tinggi, lenganku dilepasnya kasar. Aku terdiam dam esak tangis yang mula berkurangan. Kata-katanya itu ada benarnya, lalu laju sahaja aku menyapu air mata yang membasahi wajahku. Beg-beg yang aku kelek bersama akhirnya aku letakkan terus ke bawah. Irham Syakir masih berdiri tegak di hadapanku.

“Dah puas menangis?” Soal Irham, ada senyuman kecil di hujung bibirnya. Aku yang menunduk wajah hanya mengangguk sebagai jawapan kepada soalannya itu. Angah dan kak Idah di hadapan rumah hanya memerhati dari jauh. Angah masih berkerut wajah, aku tahu angah tidak suka orang membantah kata-katanya. Jarang pula apa yang dimintanya itu memburukkan orang lain. Cuma aku yang berdegil. Aku masih belum dapat menerima kehadiran Irham Syakir selepas 8 tahun aku cuba melupakannya. 

“Saya bukan nak buat apa-apa dekat awak, nak hantar awak balik Kedah aje. Itu pun masalah?” Irham mula menunduk, mengangkat ke semua beg yang telah aku letakkan ke atas tar jalan. Beg tanganku kemudian dihulurkan kepadaku. 

“Saya tak suka awak.” Ujarku jujur, beg tangan yang dihulurkan itu terus sahaja aku ambil dan galas ke bahu. Irham memasukkan beg bagasi dan beg sandangku ke dalam but keretanya. Aku memerhati dengan kerutan kening hingga bertaut kedua-duanya.

“Saya tak nak balik dengan awak!” Aku membentak dengan mengetap rapat gigiku. Irham memandang dan mengeluh perlahan. 

“Saya hantar awak ke Pudu aje, boleh?” Irham menyoal, ketinggiannya membuatkan dia menundukkan sedikit kepala ke arahku dengan kedua-dua belah tangannya berada di dalam poket seluar. Aku menarik nafas lega, akhirnya berjaya juga aku lepaskan diri daripada Irham Syakir.

“Okay, itu saya setuju. Saya jumpa angah kejap.” Laju sahaja aku melangkah ke arah angah dan kak Idah untuk bersalaman. Jam juga sudah menunjukkan jam 10 malam, lebih kurang setengah jam lagi bas akan bertolak. Takut juga kalau tidak sempat.

“Dah tak merajuk dah?” Angah menghulurkan tangannya untuk aku salami, sempat juga dia menyindir. Kak Idah menahan ketawa. 

“Mana ada Mus merajuk?” Aku membela diri. Angah memicit kuat hidungku.

“Mus tu tak lama dah nak jadi ibu, perangai masih tak berapa nak matang!” Rungut angah, aku hanya menjelir lidah tanda tidak mahu mendengar bebelannya itu.

“Abang ni, dah abang yang manjakan dia selama ni. Sekarang baru nak merungut?” Kak Idah membelaku. Aku memeluk erat kak Idah dan mengangkat tanda bagus ke arah angah. Irham yang memandang hanya tersenyum sendiri.

“Angah, saya hantar Mus dulu. Nanti apa-apa saya telefonlah.” Irham turut menyalami angah sebelum meminta diri.

“Pastikan hantar sampai ke pintu rumah.” Tegas angah. Irham memandang ke arahku, riaknya begitu serba salah. Aku yang tidak mahu angah tahu arah destinasi kami hanya memberi isyarat supaya Irham mengangguk.

“Mus suruh saya hantar dia...”

“Okay angah! Nanti Mus call bila dah sampai rumah. Bye, Assalamualaikum.” Hampir sahaja Irham terlepas kata mujur aku cepat-cepat memintas. Laju sahaja aku memberi isyarat supaya dia masuk ke dalam kereta. Tangan aku lambai-lambaikan ke arah angah dan Kak Idah yang masih berdiri di tempat sama.

“Ke mana ni sebenarnya? Pudu atau terus ke Kedah?” Irham menyoal setelah beberapa minit kami bergerak menjauhi rumah angah. 

“Pudu.” Ujarku ringkas, sambil membetulkan tali pinggang keledar yang aku pakai. Aku rasakan sedikit ketidakselesaan dipinggang.

“Tadi kata sampai rumah?” Irham menyoal lagi tidak berpuas hati.

“Kalau angah tahu, dia akan marah dan berleter panjang. Bas saya bertolak 10.30 tau, sekarang dah lewat pun.” Aku bersuara lagi, sebal sedikit dengan soalan-soalan Irham ditambah dengan ketidakselesaan yang aku rasai sekarang. Aku mencari-cari sesuatu sehinggalah aku menampar dahiku sendiri. Tertinggal!

“Kenapa pula ni?” Irham menyoal lagi, hairan dengan tingkah lakuku ketika itu yang seolah-olah tidak keruan.

“Saya tertinggal bantal.” Ujarku, sedih.

“Bantal? Buat apa?” 

“Pinggang saya rasa tak selesa, nak sendal belakang ni dengan bantal bagi selesa sikit.” Aku menyandarkan tubuh, cuba mencari posisi yang terbaik.

“Dekat belakang ada kusyen kecil. Ambillah, boleh kut bagi selesa.” Suara Irham lagi, membuatkan aku laju sahaja mengalih badan ke belakang. Ada dua kusyen kecil, namun sukar untuk aku capai tambahan dengan perut yang semakin membesar. Akibat sukar untuk dicapai, aku akhirnya mengalah.

“Dah kenapa pula? Tadi kata nak bantal?” Irham menyoal kehairanan.

“Susah nak ambil, tak sampai. Perut pula besar.” Aku merungut perlahan, terasa sedikit lelah dengan hanya beberapa cubaan. 

“Sorry, sorry Mus. Saya terlupa.” Irham memberi isyarat kereta ke tepi dan kemudian memberhentikan keretanya. Irham membuka tali pinggang keledar dan kemudian terus mengambil kusyen kecil yang berada di tempat duduk belakang dan terus memberinya kepada aku.

“Terima kasih.” Ujarku, Irham hanya tersenyum dan kemudian membelek telefon bimbitnya yang berdering seperti ada mesej yang baru diterimanya. Irham mengerut dahi dan memandang ke arahku sekilas, kemudian kembali memandang ke skrin telefon. Punat telefon ditekan beberapa kali dan kembali memandu keretanya menyusuri jalan raya yang agak sibuk malam ini.

“Siapa?” Aku menyoal setelah melihat Irham seakan terganggu selepas membaca mesej sebentar tadi. Irham memandang sekilas ke arahku dan hanya tersenyum nipis, kemudian dia menggeleng. Aku memandangnya dengan penuh tanda tanya, lama kemudian aku biarkan sahaja. Mungkin hal kerja atau hal peribadinya, siapa aku untuk masuk campur?

Jam di tangan aku belek, jarum jam sudah pun menunjukkan 10.30 malam. Aku menggelabah sendiri.

“Awak cepat, dah 10.30 ni. Kejap lagi bas mesti dah nak jalan, kalau terlepas macam mana?” Aku terus menggesa Irham yang masih memandu dengan bersahaja. 

“Dah habis laju dah ni. Kereta banyak malam ni, laju sangat nanti terlanggar orang pula. Langsung lambatlah jawabnya.” Irham bersuara membuat aku mengeluh sendiri.

“Mengeluh?”

“Tak hembus nafas.” Irham ketawa kecil dengan jawapanku itu. Aku lemparkan pandangan ke luar tingkap. Beberapa ketika kemudian aku terpempan. Papan tanda yang baru sahaja kami lintasi sebentar tadi membuatkan aku terkejut besar. Aku pandang terus ke depan, lalu Irham di sisiku aku pandang tajam.

“Awak tipu saya kan?” Mataku kembali digenangi air panas. Irham menarik nafas sedalam-dalam. Soalan yang aku ujarkan langsung tidak berjawab, sebaliknya telefon bimbit yang dihulurkannya. Aku mengambil dan terus membaca mesej yang siap dibukakan Irham. Jadi semua ini rancangan angah? Aku terperangkap dalam rancanganku sendiri. Kononnya mahu menipu angah, tetapi angah lebih cekap dan pantas. 

++Kalau angah dapat tahu Mustika naik bas balik Kedah, angah memang tak sokong kamu jadi adik ipar angah.++

Mesej yang ringkas namun tegas. Sememangnya Irham akan mengikut kata angah dengan ayat mesej sebegitu. Aku mengeluh lagi dan lagi. Akhirnya air mata yang sedari tadi bertakung kini mengalir di pipi.

“Saya minta maaf, saya terpaksa pilih angah demi janji yang saya tagihkan dari awak.” Senang sahaja Irham menjawab kemudiannya. Aku memandangnya tajam.

“Tak habis-habis dengan janji tu. Saya dah lupa tau tak. Sedangkan awak pun saya lupa, apatah lagi janji yang awak cakapkan tu. Saya dah lupa semua hal lapan tahun dulu.” Suaraku tegas. 

“Okay, cakaplah apa awak nak cakap. Sekarang nak tak nak saya kena hantar awak sampai ke rumah.” Irham bersuara, membuatkan aku terdiam. Air mata yang membasahi pipi aku kesat dengan belakang tangan. Benci macam mana sekali pun aku dengan dia, mahu atau tidak aku terpaksa berada dengan dia sepanjang malam ini sehinggalah sampai ke rumah pagi nanti. 

“Misha dengan Mizan dah dapat baby. Baby boy.” Irham bersuara selepas lebih kurang 20 minit kami berdua hanya membisukan diri. Aku membiarkan Irham bersuara sendiri, langsung tidak ambil peduli dengan apa yang dikatakannya itu.

“Dengar tak? Ke awak dah tak kenal diorang?” Irham menyoal lagi, kali ini sedikit menyindir. Aku hanya menjungkit bahu. Irham tersenyum hujung bibir, mungkin sedikit terasa dengan perlakuanku ketika itu.

“Takkanlah awak lupa semua benda yang berlaku 8 tahun dulu? Mustahil.” Irham bersuara lagi. Aku memandang ke arahnya sekilas kemudian kembali memandang ke depan.

“Tak semua.” Irham tersenyum, seolah-olah senang dengan jawapan itu.

“Saya ingat lagi, ada seorang lelaki yang pernah menipu saya. Mulut dia manis sangat, lelaki paling pandai paling hensem orang kata. Mungkin sebab tu juga dia paling pandai menipu dan tak nampak macam penipu.” Kata-kata sindiranku itu membuatkan Irham terus mendiamkan diri seketika. Irham mendengus perlahan, kemudian dia bersuara lagi memecahkan kesunyian dan kedinginan antara kami ketika itu.

“Terlalu banyak salah faham yang awak tak cuba nak fahamkan. Saya sudah cuba nak betulkan keadaan tapi awak tetap menolak sampailah sekarang. Apa lagi saya boleh buat? Apa pun alasan awak, walau apa pun yang berlaku, saya tetap akan menuntut janji yang awak buat dulu.” Ujar Irham, tekad sekali. Aku tersenyum sinis.

“Berusahalah, yang pasti, sangat-sangat pasti awak takkan berjaya. Saya akan pastikan awak akan lupakan terus janji bodoh tu.” Aku juga setekad dirinya. Irham menghela nafasnya kasar.

“Janji perlu ditepati, perlu ditunaikan. Sampai mati saya akan tuntut!”

“Sampai mati saya akan menolak!” Aku melawan. 

“Okay, cubalah. Awak belum kenal Irham Syakir sebenar-benarnya.” Irham bersuara lagi, kini bernada mengugut.

“Betul, saya kenal Irham Syakir yang suka menipu, pemain hati orang dan penuntut janji bodoh.” Aku membalas, sengaja menyakitkan hati lelaki itu. Sengaja menambahkan berang kepada lelaki itu.

“Dan seorang lelaki yang pernah awak cinta sebelum ni.” Irham menambah, ada tawa dihujung katanya. Aku menjeling tajam. Irham masih bersisa ketawa. Perjalanan dalam kereta ini akan menjadi lebih panjang, jadi aku cuba menyelesakan posisiku ketika itu. Kusyen kecil yang aku letakkan sebagai alas pinggang aku betulkan sedikit. Aku cuba menurunkan sedikit tempat duduk aku itu, namun gagal. 

“Kenapa, tak selesa?” Irham menyoal, sebaik melihat aku terkial-kial mencuba.

“Nak turunkan seat ni sikit.” Ujarku. 

“Cuba tarik dekat tepi tu.” Irham cuba memberi arah. Aku hanya mendengar dan cuba melakukan seperti yang di arahkan itu namun masih gagal. 

“Tak boleh pun.” Sebaik aku bersuara, Irham merapatkan dirinya kepadaku. Cepat sahaja aku melarikan tubuh rapat ke pintu. Irham terkejut dengan reaksiku. 

“Bawa kereta elok-elok.” Aku cuba membaiki situasi ketika itu yang menjadi lebih janggal daripada yang sebelumnya. 

“Kejap lagi saya berhenti dekat RnR, saya betulkan seat tu. Awak kena tahan kejap ye.” Ujar Irham cuba bersuara seperti selalu. Aku sekadar mengangguk perlahan. 

“Okay, saya pun dah tak tahan.” Aku bersuara, lidah aku ketap perlahan.

“Tak tahan? Sakit ke?” Irham menyoal resah. Aku hanya tersengih panjang.

“Tak, nak terkucil.” Irham ternganga, mungkin terkejut dengan pengakuanku.

“Apa? Biasalah ibu mengandung.” Aku membela diri. Irham akhirnya tersenyum sendiri. Irham meneruskan lagi pemanduannya dan aku hanya duduk mendiamkan diri di sisinya. Aku termalu sendiri!

 ++++++
abc poskan awalkan?
sabtu ni pos Janji Terpateri 10.
itu pos terakhir untuk JP.
doakan abc dapat siapkan manuskrip JP secepat mungkin ye.  
komen la sikit ye.
much love readers!